
Ini didedahkan seorang lelaki yang mengaku berkawan dengan Jong Nam dalam laporan Telegraph UK.
Dalam laporan itu, lelaki terbabit yang hanya mahu dikenali sebagai Anwar berkata, beliau menemui anak sulung kepada bekas pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong Il di Singapura 4 tahun lalu.
Ketika itu, Jong Nam yang yang merupakan abang sebapa kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un, tinggal di Singapura dan Macau.
Anwar berkata, Jong Nam adalah sebahagian kecil warga asing yang kaya dan suka “berparti dan memanfaatkan” restoran serta kelab mewah di Singapura.
Katanya, kebanyakan kawan Jong Nam adalah orang Jepun, tetapi kumpulan kawannya juga termasuk “sosialit muda” dari seluruh Asia.
“Dia tidak risau tentang keselamatannya di Singapura. Beliau benar-benar bebas. Anda akan sukanya jika menemui beliau, malah anda akan pujanya,” katanya sambil menambah Jong Nam bergerak di Singapura tanpa pengawal peribadi dan tidak bimbang dengan keselamatan diri.
Anwar berkata, Jong Nam seorang yang “easy-going” dan “ceria” – pernah belajar di Switzerland – fasih berbahasa Perancis dan Inggeris, tetapi dengan loghat pekat.
Katanya, beliau dan Jong Nam saling berhubung di Paris, Perancis, di mana anak Jong Nam, Kim Han Sol akan belajar di universiti elit, Sciences Po. Jong Nam tidak sabar mendengar mengenai Paris daripada Anwar kerana beliau pernah menghabiskan masa di bandar itu.
Katanya, beliau dan Jong Nam menjadi lebih rapat selepas Jong Nam disahkan menghidap penyakit kencing manis dan berhenti pergi ke bar serta kelab di Singapura.
“Beliau mendapat tahu dirinya menghidap diabetes dan berhenti minum sepenuhnya.
“Masa itulah persahabatan kami menjadi lebih bermakna kerana kami mula lepak di siang hari. Kami mula pergi makan malam,” katanya sambil menambah Jong Nam jarang bercakap mengenai latar belakang atau tanah airnya.
Anwar berkata, Jong Nam juga tidak bercakap mengenai keluarganya, sebaliknya bercerita tentang “perkara baik” dalam kehidupan seperti wain, makanan sedap dan melancong.
Katanya, Jong Nam nampaknya tidak bekerja dan sentiasa ada wang untuk makan dan minum, tetapi beliau tidak “menunjuk-nunjuk”.
Beliau berkata, Jong Nam akan menaiki penerbangan tambang murah, Tigerair yang berpangkalan di Singapura apabila berulang-alik Singapura dan Macau.
“Saya menangis apabila mendapat tahu kematiannya. Apa yang mengejutkan saya ialah bagaimana seorang lelaki baik – berjiwa baik – dibunuh dengan cara seperti itu,” kata Anwar.
Jong Nam tiba di Malaysia pada 6 Februari lalu dan dijadualkan pulang ke Macau dengan menaiki penerbangan jam 9 pagi Isnin lalu.
Ketika di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), beliau didatangi seorang wanita yang menyembur sejenis cecair dan seorang lagi menyerkup mukanya dengan sehelai kain.
Jong Nam meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.