
Dalam satu kenyataan peguam N Surendran dan Latheefa Koya berkata keputusan bedah siasat kedua yang dijalankan ahli patologi Hospital Kuala Lumpur (HKL) menunjukkan Balamurugan mengalami beberapa kecederaan di dada, kepala, kaki dan belakang yang menyebabkan kegagalan jantung.
Berdasarkan kepada keputusan itu, peguam mendesak penahanan segera dan pendakwaan terhadap semua anggota polis yang terbabit dalam serangan Balamurugan hingga menyebabkan kematiannya.
Balamurugan meninggal dunia dalam tahanan polis pada 8 Februari di balai polis Klang Utara dan menurut laporan berita, mangsa ditemui dalam keadaan mukanya lebam dan berdarah.
Bedah siasat pertama yang dijalankan di Hospital Klang menunjukkan dia meninggal dunia kerana “masalah jantung” dan keluarganya kemudian memfailkan permohonan bedah siasat kedua dilakukan. Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan permohonan itu.
Mereka berkata ahli patologi HKL mengenal pasti punca kematian sebagai “penyakit arteri koronari dengan beberapa kecederaan akibat dipukul dengan senjata tumpul”.
“Dalam kata lain, oleh sebab Balamurugan ada masalah jantung, pukulan yang diterima ketika dalam tahanan polis mencetuskan kegagalan jantung,” kata peguam.
Mereka berkata memandangkan punca kematian sudah jelas, tidak perlu lagi inkues dibuat dalam perkara itu.
“Keputusan bedah siasat kedua itu menunjukkan tidak perlu lagi berlengah-lengah untuk membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan,” katanya.
Sebelum ini, dilaporkan Balraj, adik Balamurugan mendakwa abangnya cedera dan muntah darah ketika dibawa ke Mahkamah Majistret untuk mendengar permohonan reman.
Balamurugan ditahan pada 6 Februari dan dibawa ke mahkamah untuk membolehkan reman diperoleh keesokan harinya. Mahkamah Majistret menolak permohonan perintah reman dimohon polis dan mengarahkan Balamurugan dibebaskan tetapi polis tidak membebaskannya.
Dilaporkan, kira-kira 10 anggota polis ibu pejabat Klang Utara sedang disiasat berhubung kematian Balamurugan.
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan turut menyiasat kes itu.