
Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menahan reman suspek berusia 62 tahun itu sehingga 22 Februari ini.
Lelaki itu yang memakai baju lokap berwarna jingga dengan tangan bergari, tiba di Mahkamah Majistret di sini pada jam 9.40 pagi dan akan disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
Suspek ditangkap menerusi satu operasi yang dilancarkan SPRM pada jam 11 pagi semalam di Selangor.
Di luar mahkamah, SPRM memberitahu media, suspek yang ditangkap di pejabatnya berhubung kes menyalahgunakan kedudukannya sejak memegang jawatan sebagai timbalan pengurus besar di agensi kerajaan itu dari 2014 hingga 2016, sebelum dilantik sebagai pengurus besar pada September tahun lepas.
Turut ditangkap dalam operasi tersebut ialah isterinya yang berusia 38 tahun. Bagaimanapun, wanita itu dibebaskan selepas percakapannya dirakam SPRM berhubung siasatan kes tersebut petang semalam.
SPRM berkata, pihaknya sudah merampas beberapa dokumen melibatkan pemberian kerja kepada syarikat isteri beliau untuk tujuan siasatan.