Kementerian gesa henti main isu caj hospital kerajaan naik

Kementerian gesa henti main isu caj hospital kerajaan naik

Timbalan menteri kesihatan kesal ia sering ditimbulkan pihak tidak bertanggungjawab sehingga menimbulkan pelbagai protes.

hilmi
BALIK PULAU:
Kementerian Kesihatan meminta pihak tidak bertanggungjawab agar berhenti daripada memainkan isu dan menyebarkan maklumat tidak benar mengenai kenaikan caj rawatan perubatan di hospital kerajaan.

Timbalan menterinya, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata isu itu sering ditimbulkan terutama oleh pihak pembangkang sehingga timbul pelbagai protes, sedangkan kos yang naik hanya melibatkan perkhidmatan di wad kelas 1 dan 2.

“Yang naik kos untuk kerajaan, tapi yang kita (kerajaan) caj kepada rakyat tidak naik, masih RM3 sehari bagi wad kelas 3.

“Pesakit boleh pilih sama ada nak duduk kelas 1, 2 atau 3. Kalau duduk kelas 3 pun masih dapat jururawat dan doktor yang sama,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada warga emas dan pelajar sempena Tahun Baharu Cina di sini, hari ini.

Beliau berkata sepanjang tahun lepas. kira-kira 2.2 juta pesakit dimasukkan ke hospital kerajaan dan daripada jumlah itu hanya lebih 30,000 pesakit dirawat di wad kelas 1 dan 2.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam pada November lepas mengumumkan caj perkhidmatan wad untuk pesakit kelas 1 dan 2 dinaikkan berkuat kuasa 1 Jan lalu.

Caj baharu itu bagaimana pun tidak terpakai ke atas pesakit wad kelas 3 yang terpaksa menerima rawatan di wad kelas 2, jika tiada katil kosong di wad kelas 3.

Menteri nafi caj wad kelas 1,2 di hospital kerajaan naik 50%

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.