
Laporan penilaian oleh agensi Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO), Tabung Kanak-Kanak PBB (Unicef) dan Program Makanan Sedunia (WFP) mendapati tahap kelaparan yang “tidak pernah berlaku sebelum ini” dengan bilangan orang tidak pasti mempunyai makanan mencukupi melonjak 3 juta dalam tempoh 7 bulan.
Seramai 17.1 juta orang bergelut untuk mengisi perut sendiri dan 7.3 juta daripadanya memerlukan bantuan kecemasan. Yaman mempunyai 27.4 juta rakyat.
Kajian bersama itu adalah yang pertama seumpamanya sejak konflik melarat secara dramatik pada Mac 2015, apabila tentera bersekutu antarabangsa pimpinan Arab Saudi memberi bantuan kepada tentera kerajaan bagi melawan pemberontak yang disokong Iran.
Pertempuran itu memberi kesan kepada pengeluaran pertanian di seluruh negara tersebut, menyumbang kepada masalah kekurangan zat yang melambung tinggi.
“Kami menyaksikan jumlah masalah kekurangan zat tertinggi di kalangan kanak-kanak di Yaman sejak kebelakangan ini,” kata wakil Unicef di negara itu, Merixell Relano.
“Kanak-kanak yang mengalami masalah kekurangan zat yang teruk dan parah 11 kali lebih berisiko untuk mati berbanding kanak-kanak yang sihat, sekiranya mereka tidak dirawat dengan segera.”
Sementara itu, Pengarah WFP di negara itu, Stephen Anderson berkata: “Tahap semasa kebuluran di Yaman tidak pernah berlaku sebelum ini.”
“Malangnya, kita lihat semakin banyak keluarga melangkau waktu makan atau tidur dalam keadaan lapar.”
Konflik itu meragut 7,400 nyawa dan lebih 40,000 orang cedera, tetapi semua usaha damai dan 7 gencatan senjata yang digerakkan PBB menemui kegagalan.