SPRM siasat sumber kekayaan ketua Pemuda PKR Ampang

SPRM siasat sumber kekayaan ketua Pemuda PKR Ampang

Adam sedia dipanggil buat kali ke-2 untuk membantu siasatan SPRM, jika perlu.

adam-r
PUTRAJAYA:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mengambil keterangan Ketua Pemuda PKR Ampang, Datuk Adam Rosly berhubung sumber kekayaannya.

Adam yang tiba di Ibu Pejabat SPRM kira-kira jam 8.15 pagi tadi, menghabiskan masa lebih 4 jam memberi keterangan kepada SPRM.

“Saya ucapkan tahniah kepada SPRM kerana dengan siasatan ini, menunjukkan mereka sangat telus.

“Saya ditanya tentang sumber pendapatan saya dan saya sudah menyatakan semua,” katanya selepas selesai memberi keterangan kepada SPRM, tengah hari ini.

Mengulas lanjut, pegawai khas kepada Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin itu berkata, beliau sedia dipanggil buat kali ke-2 untuk membantu siasatan SPRM, jika perlu.

Pada 15 November lalu, Ketua Gerakan Baju Merah, Datuk Seri Jamal Md Yunos membawa wartawan menaiki helikopter meninjau banglo milik Adam di Ampang.

Jamal mendakwa pemuda itu turut memiliki pelbagai kereta mewah, meskipun baru 1 penggal memegang jawatan dalam PKR.

Sehubungan itu, beliau mempersoalkan kejayaan Adam yang hanya berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebelum dan selepas beliau menjadi ketua Pemuda PKR Ampang.

Adam bagaimanapun menjelaskan, kediamannya di Ampang berharga RM1 juta, bukannya RM7 juta seperti didakwa Jamal kerana ia adalah rumah terbengkalai yang dijual bank.

Satu laporan SPRM dibuat Ketua Umno Bahagian Ampang, Datuk Ismail Kijo.

Adam berkata, beliau akan memfailkan saman terhadap Jamal dan Ismail.

Pemimpin Pemuda PKR cabar Jamal lapor banglo mewahnya

Rafizi nasihat ketua Pemuda PKR Ampang isytihar harta

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.