
Presiden MMA Dr John Chew memberitahu FMT terdapat pelbagai tanda rotavirus yang disebarkan melalui laluan mulut dan najis.
Jabatan Kesihatan Kedah mencatatkan 11 kes baru jangkitan rotavirus di negeri ini sejak Jumaat lepas. Terdapat 7 kes direkodkan sebelum itu.
Kes berkenaan melibatkan kanak-kanak dan remaja berumur antara 1 hingga 19 tahun.
Mereka mendapatkan rawatan kerana mengalami cirit-birit dan muntah selepas melawat kolam air panas Ulu Legong di Baling, Kedah.
“Ia amat sukar untuk memeriksa sama ada air di dalam kolam, tasik atau air terjun tercemar dengan virus sehingga seseorang dijangkiti dan mula menunjukkan gejala,” katanya.
Gejala rotavirus termasuk demam, muntah dan cirit-birit yang boleh membawa kepada dehidrasi.
Beliau berkata kanak-kanak kecil biasanya lebih mudah terdedah kepada jangkitan rotavirus kerana tahap imuniti tubuh yang lebih rendah berbanding kanak-kanak lebih tua.
Chew berkata, memandangkan virus itu merebak dengan mudah, ibu bapa harus mengelak daripada membawa kanak-kanak ke kolam yang sesak atau aktiviti melibatkan kawasan rekreasi air termasuk air terjun dan tasik kerana imuniti mereka untuk melawan rotavirus belum dibina sepenuhnya.
“Ia perkara biasa bagi kanak-kanak dijangkiti semula kerana jenis yang berbeza tetapi jangkitan berulang biasanya kurang teruk.”
Chew menjelaskan memandangkan rotavirus merebak melalui najis mereka yang dijangkiti, ibu bapa bertanggungjawab memastikan anak bermain di kolam rekreasi atau renang, membuang air di tandas awam atau jika tiada, menggunakan beg plastik – untuk mengelakkan pencemaran air turut digunakan orang lain.
Beliau berkata vaksinasi menjadi pilihan kepada kanak-kanak di bawah umur 6 bulan, tetapi memberi amaran ia bukan alternatif yang murah kerana melibatkan kos sekitar RM300 jika diambil di klinik swasta.
Sebelum ini, Kementerian Kesihatan berkata vaksin rotavirus akan dimasukkan ke dalam Program Imunisasi Kebangsaan (NIP) jika kadar kematian disebabkan penyakit itu melebihi 10% bagi lanak-kanak berusia 5 tahun dan ke bawah.
Oktober lalu, dilaporkan pihak pengurusan taman tema air di Bukit Merah Laketown Resort terpaksa menutup operasi selama 14 hari bagi membolehkan kolam itu boleh dibersihkan dengan teliti.
Air kolam terpaksa digantikan selepas beberapa kes rotavirus dan gastroenteritis akut dikesan yang berpunca daripada taman tema itu.
Vaksin Rotavirus mungkin tersenarai program imunisasi negara