
Beliau berkata jika ia tidak mudah, maka Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor sepatutnya perlu membincangkan perkara itu terlebih dulu.
“Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang Datuk Zainal Abidin Osman kata mereka mahu berjumpa Tengku Adnan untuk mendapatkan penjelasan perkara ini. Dia kata ia tidak mudah.
“Jadi kenapa buat cadangan seperti itu jika ia bukan sesuatu yang mudah untuk dilakukan? Anda patutnya bincang dulu perkara ini.
“Tidak ada perbincangan dan dia beri sebab yang bukan-bukan,” katanya kepada wartawan hari ini.
Semalam, Zainal berkata Umno Pulau Pinang akan bertemu dengan Tengku Adnan untuk mendapatkan penjelasannya berhubungan perkara itu, yang kini menjadi isu hangat.
Katanya, semua maklumat yang diperoleh daripada Tengku Adnan akan dikongsi dengan parti komponen BN di Pulau Pinang untuk perbincangan lanjut.
Beliau berkata bukan mudah untuk mengambil negeri lain atau menukar sempadan sesebuah negeri bagi menjadikan ia Wilayah Persekutuan kerana ia membabitkan Perlembagaan Persekutuan.
Idea Tengku Adnan untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai Wilayah Persekutuan menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan mengambil langkah mempertahankan negeri itu.
Tengku Adnan dikritik sejak beliau menyuarakan idea itu menerusi satu temu bual radio, minggu lalu.
Hujung minggu lalu, Tengku Adnan mempertahankan ideanya, berkata ia akan dapat membantu orang Melayu di Pulau Pinang yang diketepikan oleh kerajaan negeri dan ia bakal menangani masalah perumahan mampu milik di negeri itu.
Kedua-dua hujahnya dibantah kerajaan negeri dan wakil rakyat Pakatan, yang mendakwa pentadbiran pembangkang melakukan lebih baik berbanding kerajaan persekutuan untuk rakyat negeri itu dalam menangani 2 isu itu.
Guan Eng yang juga setiausaha agung DAP berkata cadangan itu dibuat hanya kerana BN tahu ia akan kalah dalam pilihan raya umum akan datang.