
Katanya dengan berbuat demikian, mereka memberi peluang kepada balu Tan Sri Adenan Satem, Puan Sri Jamilah Anu, calon Barisan Nasional (BN) untuk PRK itu, meneruskan kerja cemerlang yang dilakukan bekas ketua menteri berkenaan sebelum ini.
Zahid berkata demikian semasa berucap pada sambutan Tahun Baharu Cina anjuran kerajaan negeri dan Komuniti Cina Kuching Selatan, di sini hari ini.
“Umum mengetahui sebanyak 14 kertas pencalonan diambil. Anda boleh ambil kertas (pencalonan) itu tapi jangan kemukakannya di pusat penamaan calon esok.
“Namun pada masa sama kami tidak menghalang mana-mana pihak termasuk (calon) bebas jika mereka ingin bertanding kerana kita negara demokratik,” katanya.
Dalam tempoh beberapa hari lalu, DAP, PKR dan Amanah peringkat Sarawak mengeluarkan kenyataan yang mereka tidak akan bertanding pada PRK itu kerana mahu menumpukan kepada pilihan raya umum ke-14 selain sebagai penghormatan kepada Adenan.
Zahid berkata jika Jamilah dibenarkan menang tanpa bertanding, ini bermakna kawasan Lundu dan penduduknya akan menikmati lebih banyak pembangunan dan kemakmuran.
Mengulas isu lain, beliau memuji peralihan kuasa yang berjalan lancar di negeri ini susulan kematian Adena pada 11 Jan lalu, dengan timbalan ketua menteri yang juga Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu, Datuk Abang Johari Tun Openg mengambil alih jawatan ketua menteri.
“Ini menunjukkan kualiti kepimpinan yang hebat di negeri ini, iaitu suatu yang sangat berbeza dan unik.
“Rakyat Sarawak sangat bertuah. Sekalipun berbeza agama, pandangan dan pendekatan dalam berfikir, mereka bersatu sebagai ‘1 Sarawak’,” katanya.
Malah kata Zahid, indeks perpaduan rakyat Sarawak adalah yang tertinggi di negara ini.