
Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohd Johari Baharom sebaliknya berkata, beliau perlu menunggu laporan rasmi berkenaan perkara terbabit.
“Saya tak boleh nak jawab apa-apa lagi. Saya kena tunggu dapat laporan dulu. Belum dapat laporan lagi. Ada apa-apa nanti saya bagi tahu,” katanya ketika dihubungi FMT hari ini.
Dalam laporan tahunannya, PBB berkata pegawai Malaysia turut terlibat membantu operasi ketenteraan Arab Saudi di Yaman. Badan dunia itu mengutuk serangan Arab Saudi ke atas Yaman dan menyifatkannya jenayah perang.
Memetik laporan AFP, ia turut memberi amaran kepada negara lain yang membantu Riyadh, selepas penyiasatannya mendapati kebanyakan sasaran serangan di Yaman antara Mac dan Oktober tahun lalu adalah kawasan awam, melibatkan kematian 292 orang awam termasuk 100 wanita dan kanak-kanak.
Sejak 2 tahun lalu, Arab Saudi mengetuai gabungan 9 negara Arab melancarkan serangan udara bagi membantu kerajaan Yaman melawan pemberontak puak Houthi dan pihak yang setia kepada bekas presiden Ali Abdullah Saleh.
Menurut laporan PBB lagi, selain 9 negara Arab iaitu Mesir, Maghribi, Jordan, Sudan, UAE, Kuwait, Qatar dan Bahrain, operasi ketenteraan Arab Saudi turut dibantu perisikan Amerika Syarikat serta disokong pegawai dari Britan, Perancis dan Malaysia.
Mengulas lanjut, Johari menyatakan misi tentera Malaysia masih lagi sama seperti dahulu.
“Kita pergi untuk siap sedia sekiranya berlaku apa-apa di sana sahaja. Kita tak terlibat dengan ketenteraan. Menteri pun dah jawab banyak kali di Parlimen. Saya pun banyak kali sudah menjawab,” katanya.
PBB bidas Saudi, dakwa pegawai Malaysia turut bantu operasi di Yaman