Hindraf pertikai keperluan jemput Zakir Naik beri khutbah

Hindraf pertikai keperluan jemput Zakir Naik beri khutbah

Pengerusi Hindraf berkata kerajaan perlu mengambil kira kepentingan negara sebelum menjemput penceramah luar

waytha-zakir
PETALING JAYA:
Pengerusi Hindraf P Waythamoorthy mempertikaikan keperluan menjemput penceramah kontroversi Zakir Naik menyampaikan khutbah di Malaysia.

Hindraf terkejut apabila diberitahu Zakir, yang sedang disiasat pihak berkuasa India, dijemput menyampaikan khutbah Jumaat di Perlis minggu ini atas jemputan mufti Perlis.

“Apa motif sebenar kerajaan mengalakkan ceramah beliau di Malaysia?” kata Waytha.

Waytha berkata pihaknya masih menunggu pengesahan daripada kerajaan berhubung dakwaan Zakir diberi status penduduk tetap.

Sebelum ini, kerajaan menafikan laporan akhbar India yang mendakwa Malaysia memberi kerakyatan kepada Zakir.

“Minggu lepas, Zakir dijemput ke Universiti Antarabangsa Al-Madinah (Mediu) di Shah Alam, yang juga disiasat pihak berkuasa apabila 2 pelajarnya ditahan selepas disyaki terlibat dengan militan IS.

“Jadi, kerajaan perlu nyatakan sudahkah keselamatan negara diambil kira apabila mereka membenarkan Zakir bergerak bebas di Malaysia,” kata Waytha.

Zakir dilaporkan menghadiri persidangan Al Khadem di Kuala Lumpur pada 23 Oktober.

Awal tahun ini, Zakir dijemput berceramah di beberapa negeri, termasuk Terengganu, Melaka dan Selangor.

Zakir dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah pada 2013.

Hindustan Times melaporkan Yayasan Penyelidikan Islam (IRF) yang diasaskan Zakir diharamkan selama 5 tahun selepas kerajaan India mengisytiharkan IRF sebagai “pertubuhan haram” di bawah Akta Pencegahan Aktiviti Haram (UAPA).

Susulan pengharaman itu, Agensi Penyiasatan Kebangsaan (NIA) membuka siasatan terhadap Zakir dan IRF atas tuduhan menghasut belia Islam melakukan keganasan dan mempromosikan kebencian antara agama dan kaum.

Agensi itu turut mendakwa Zakir terlibat dalam aktiviti yang menjejaskan perpaduan.

Agensi itu kemudiannya melakukan siasatan ke atas lebih 24 hartanah milik Zakir, ahli keluarga dan IRF.

“Lebih 3 dozen bank akaun milik IRF dan pemegang amanah, termasuk Zakir Naik, dikenalpasti dan bank diminta membekukan akaun-akaun itu,” menurut jurucakap NIA.

Kerajaan India menubuhkan tribunal untuk mempertimbangkan larangan yang dikenakan ke atas IRF.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.