Kanak-kanak korban pertama banjir Pahang

Kanak-kanak korban pertama banjir Pahang

Siti Nurdarwisyah, 1, ditemui lemas berhampiran rumahnya di Kampung Medang Hilir malam tadi

mangsa
KUANTAN:
Seorang kanak-kanak berusia 1 tahun 8 bulan menjadi korban pertama banjir di Pahang setelah ditemui lemas berhampiran rumahnya di Kampung Medang Hilir malam tadi.

Ketua Polis Daerah Pekan Supt Amran Sidek berkata Siti Nurdarwisyah Abdul Rahman yang hilang pada 7.22 malam, ditemui tersangkut di celah pokok berhampiran rumah oleh anggota keluarga yang keluar mencarinya setengah jam sebelum itu.

“Bapa mangsa Muhammad Firdaus Sazali, 24, menyedari anak tunggalnya itu tiada di dalam rumah sebelum meminta jirannya membantu mencari di luar rumah yang telah dinaiki air kira-kira 1 meter,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Amran berkata bapa mangsa mengesyaki anaknya terjatuh ke dalam air selepas mendapati pintu rumah terbuka.

“Semasa kejadian Muhammad Firdaus dan isteri serta bapa dan ibu mentua dan adik iparnya berada di dalam rumah itu,” katanya.

Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Pekan menaiki kenderaan polis untuk rawatan lanjut namun disahkan meninggal dunia pada 9.17 malam dan bedah siasat mendapati mangsa mati akibat lemas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.