Mayat kedua mangsa banjir di Johor ditemui

Mayat kedua mangsa banjir di Johor ditemui

Tarmin Katimun, 58, dalam perjalan pulang ke Kampung Mensudut, Segamat, sebelum motosikal yang ditungganginya dihanyutkan arus deras

tarmin
SEGAMAT:
Seorang lelaki berusia 58 tahun menjadi korban banjir kedua di Johor selepas mayatnya dijumpai pasukan Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) di kawasan Ladang Felda Palong Timur dekat sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Segamat Supt Raub Selamat berkata pasukan SAR yang dianggotai oleh polis, bomba dan penduduk kampung menemui mangsa dalam keadaan terapung dan lengkap berpakaian pada 2.30 petang tadi.

“Mangsa dikenali sebagai Tarmin Katimun dan berkerja sebagai pengawal keselamatan di ladang itu. Mayatnya dihantar ke Hospital Daerah Segamat untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata pengecaman mayat mangsa dibuat oleh anggota keluarganya dan majikannya.

Raub berkata lelaki itu dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Mensudut Lama di sini sebelum motosikal yang ditungganginya dihanyutkan arus deras petang semalam.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai supaya berhati-hati ketika mengharungi air banjir dan sentiasa memakai jaket keselamatan apabila menyeberangi sungai atau kawasan dilanda bah.

Sebelum ini, mayat lelaki berusia 21 yang menjadi korban pertama banjir di Johor, selepas terjatuh dari bot di Kampung Tengah dekat sini 2 hari lepas, ditemui kira-kira 7.45 pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 4.00 petang itu, Mohd Faiz Syafiq hilang manakala 4 lagi terselamat selepas bot yang dinaiki mereka terbalik ketika dalam perjalanan dari Jalan Pemuda untuk ke rumahnya di Kampung Tengah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.