
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan dan Kesejahteraan Rakyat negeri, Mumtaz Md Nawi berkata, banjir gelombang ke-2 itu disebabkan hujan terlalu lebat, bukannya kesan pembangunan serta sistem saluran bermasalah.
“Fenomena banjir di Kelantan kali ini berbeza dan berlaku di luar jangkaan. Dahulu, kalau banjir hanya melibatkan kawasan rendah dan musim tengkujuh, tetapi sekarang ini kawasan tinggi dan kawasan tidak pernah banjir pun terlibat, sebab bila hujan turun dengan lebat dan luar biasa, kawasan terbabit tidak boleh menampung air yang banyak dalam satu masa.
“Jabatan Meteorologi Malaysia mengatakan selalunya keadaan hujan di Kelantan hanya 200mm sehari paling lebat, tapi kali ini sekali turun hampir 500mm sehari, iaitu hampir 2 kali ganda lebih,” katanya kepada FMT.
Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menerusi aplikasi Infobanjir memaklumkan 49 pusat pemindahan dibuka bagi menempatkan lebih 10,000 mangsa banjir dari 5 jajahan, termasuk Kota Bharu, Pasir Puteh, Pasir Mas dan Bachok, susulan banjir gelombang ke-2 di Kelantan, selepas lebih 25,000 mangsa terjejas pada awal bulan ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Mumtaz berkata, kerajaan negeri sudah meluluskan peruntukan tambahan lebih RM100,000 untuk membantu mangsa banjir.
“Sebanyak RM3,000 diperuntukkan bagi setiap DUN (Dewan Undangan Negeri). Gelombang pertama membabitkan 27 DUN, manakala gelombang ke-2 membabitkan 22 DUN dan jumlah tersebut akan ditambah mengikut keperluan semasa.
“Peruntukan melebihi RM100,000 hanya melibatkan bantuan makanan, tidak termasuk kos pengurusan lain terutamanya selepas banjir seperti pembersihan, membaiki rumah, pakaian sekolah dan keperluan asas lain.”
3,779 berpindah selepas gelombang banjir kedua landa Pantai Timur