Pemegang lesen dibenar mula dulang emas di Kelantan mulai 21 Jan

Pemegang lesen dibenar mula dulang emas di Kelantan mulai 21 Jan

Lokasi yang akan diwartakan pada fasa pertama termasuk Sungai Taduh dan Sungai Pergau di Jeli, serta Sungai Gentian di Kuala Krai.

Mohamed Fadzli Hassan
Timbalan Menteri Besar Mohamed Fadzli Hassan ingatkan semua pendulang emas berlesen agar patuhi syarat-syarat ditetapkan sepertimana ketika permohonan dibuat. (Gambar Bernama)
KOTA BHARU:
Pendulang emas di Kelantan yang telah memiliki lesen boleh mula melakukan kegiatan mendulang bermula 21 Jan, kata Timbalan Menteri Besar Mohamed Fadzli Hassan.

Beliau berkata, setakat ini, Pejabat Tanah dan Galian menerima 332 permohonan lesen dengan 179 daripadanya telah membuat bayaran dan memperoleh lesen, manakala baki permohonan masih dalam proses tapisan.

“Untuk tujuan itu, kerajaan negeri akan mula melakukan proses penandaan tanah bagi mewartakan kawasan atau lokasi mulai hari ini dengan keluasan yang dicadangkan untuk fasa pertama ialah sepanjang 2km,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco di Kompleks Kota Darulnaim hari ini.

“Pada masa yang sama, kajian susulan akan dilakukan bagi mengenal pasti sama ada proses mendulang emas ini berjalan lancar atau sebaliknya. Jika semuanya berjalan lancar, kita akan luaskan kawasan mendulang.”

Beliau berkata, lokasi atau sungai yang akan diwartakan pada fasa pertama termasuk Sungai Taduh dan Sungai Pergau di Jeli; Sungai Gentian di Kuala Krai; Sungai Galas di Gua Musang; dan Sungai Bertam di Tanah Merah.

Mohamed Fadzli berkata, cadangan fasa permulaan sepanjang 2km ini bagi memudahkan pendulang berlesen mengenal pasti kawasan yang dibenarkan mendulang, selain memudahkan proses pengawasan oleh pihak kerajaan.

“Kita ingatkan agar semua pendulang berlesen dapat mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan sepertimana ketika permohonan dibuat.

“Berikutan ketetapan ini, aktiviti mendulang emas tanpa lesen akan dikategorikan sebagai satu kesalahan,” katanya.

Setakat ini, katanya, dua syarikat pembeli emas yang sah telah dilantik, manakala beberapa syarikat lagi yang memohon akan dipertimbangkan dan sumber mineral berkenaan akan dijual kepada anak syarikat negeri.

Dalam pada itu, katanya, Kelantan masih membuka ruang kepada pelabur asing yang berminat dalam proses penerokaan Unsur Nadir Bumi–Bukan Radioaktif (NR–REE) bagi membolehkan bahan mentah itu diproses di negeri ini sekali gus menjana pendapatan daripadanya.

“Setakat ini, Lynas Rare Earths Ltd telah menandatangani memorandum persefahaman dengan kerajaan Kelantan melalui MB Inc pada Mei 2025 untuk membangunkan sumber REE,” katanya.

Mohamed Fadzli berkata, banyak syarikat atau pelabur luar lain juga menunjukkan minat dan memohon, namun kerajaan negeri sedang meneliti syarikat yang dapat memberikan tawaran terbaik untuk dipilih.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.