Kementerian Kesihatan: Tepung gandum di Malaysia selamat digunakan

Kementerian Kesihatan: Tepung gandum di Malaysia selamat digunakan

Hasil pemantauan yang dilakukan ke atas pelbagai jenama tepung gandum di pasaran menunjukkan kandungan bahan peluntur benzoil peroksida di bawah kadar dibenarkan.

norhisham-tepung
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan mendapati kandungan benzoil peroksida yang terdapat dalam pelbagai jenama tepung gandum di pasaran berada di bawah kadar dibenarkan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, bahan benzoil peroksida disahkan selamat digunakan dalam makanan pada jumlah tertentu yang ditetapkan badan penilai antarabangsa, Joint FAO/WHO Expert Committee on Food Additive (JECFA).

Katanya, Suruhanjaya Codex Alimentarius (CAC) yang merupakan badan antarabangsa ditubuhkan di bawah Joint FAO/WHO Food Standards Programme, membenarkan penggunaan benzoil peroksida dalam tepung gandum pada kadar tidak melebihi 75mg/kg.

“Di samping itu, penambahan benzoil peroksida dalam tepung gandum juga dibenarkan di negara lain seperti Jepun dan Amerika Syarikat, manakala Australia New Zealand Food Standards Code membenarkan ia digunakan dalam semua makanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas laporan beberapa akhbar tempatan bertarikh 16 Januari mengenai kandungan bahan peluntur benzoil peroksida dalam tepung gandum di pasaran yang didakwa Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) boleh menjejaskan kesihatan.

Dr Noor Hisham berkata, Kementerian Kesihatan tidak teragak-agak mengambil tindakan sewajarnya bagi melindungi kesihatan pengguna, sekiranya terdapat bukti saintifik terkini yang bahan dalam makanan adalah berbahaya kepada kesihatan.

“Ini termasuk mengkaji semula apa-apa peraturan makanan sedia ada di bawah Peraturan-peraturan Makanan 1985.

“Kementerian sentiasa memantau isu terkini berhubung keselamatan makanan. Hasil pemantauan yang dilakukan ke atas pelbagai jenama tepung di pasaran menunjukkan kandungan benzoil peroksida di bawah kadar dibenarkan,” katanya.

Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung isu keselamatan makanan, boleh hubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau Facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan www.facebook.com/bkkmhq.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.