Tumpahan minyak: Kami rugi lebih RM3,000 seorang, kata nelayan

Tumpahan minyak: Kami rugi lebih RM3,000 seorang, kata nelayan

Ketua nelayan Kampung Pasir Putih, Hamzah Aladita berkata nelayan terpaksa menanggung kerugian berganda apabila hasil tangkapan terjejas dan peralatan menangkap ikan rosak.

nelayan-1
PETALING JAYA:
Persatuan Nelayan Kawasan Johor Selatan menuntut Johor Port Berhad yang mengendalikan Pelabuhan Pasir Gudang membayar ganti rugi ekoran tumpahan minyak berpunca daripada pelanggaran 2 kapal kontena, minggu lalu.

Ahli lembaga pengarahnya, Hamzah Aladita berkata, pencemaran itu menyebabkan mereka hilang hasil pendapatan utama, selain perlu menanggung kerugian untuk membaiki peralatan yang rosak.

Beliau menganggarkan kerugian yang perlu ditanggungnya akibat tumpahan minyak itu lebih RM3,000.

“Bot dan jaring kami rosak sebab terlekat dengan minyak. Bagi membaiki dan tukar kelengkapan, semuanya perlu bayar secara tunai.

“Pendapatan bulanan saya biasanya sehingga RM3,000. Tetapi, sekarang sudah seminggu tidak turun ke laut. Selain keadaan laut tercemar, saya perlu juga jumpa pelbagai pihak untuk menyelesaikan masalah ini,” katanya dalam wawancara bersama FMT baru-baru ini.

Pada 3 Januari lalu, 2 kapal kontena antarabangsa, MT APL Denver dan MT Wan Hai 301 berlanggar menyebabkan tumpahan minyak berlaku di timur Selat Johor serta berhampiran Pelabuhan Pasir Gudang.

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Datuk Ayub Rahmat dilaporkan berkata, Jabatan Perikanan sedang mengenal pasti jumlah pemilik sebenar sangkar ikan serta nelayan terjejas.

Beliau berkata, penilaian akan dimuktamadkan dalam tempoh beberapa hari lagi bagi mendapatkan penilaian tepat untuk dipanjangkan kepada kerajaan negeri dan Johor Port Berhad bagi proses tuntutan pampasan.

“Setakat ini yang berdaftar lebih 300 nelayan, namun Jabatan Perikanan sedang mengenal pasti secara terperinci agar tiada pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan dalam proses tuntutan pampasan.

“Setakat ini, nilaian awalan kerugian dialami nelayan berjumlah RM1 juta, namun jumlah itu dijangka meningkat,” kata Ayub sambil menambah tuntutan pampasan kerugian itu akan ditanggung sepenuhnya kedua-dua pemilik kapal terbabit.

Hamzah yang juga ketua nelayan Kampung Pasir Putih di Pasir Gudang berkata, pihak Pelabuhan Pasir Gudang juga sering mengabaikan kebajikan nelayan selama ini.

“Selama ini, mereka sentiasa fikir kawasan selat ini milik mereka dan tidak pernah peduli dengan nelayan, sedangkan kedudukan mereka dekat sahaja dengan kami,” katanya yang mendakwa kebanyakan penduduk kampungnya berasal dari Kampung Pasir Merah – tempat di mana Pelabuhan Pasir Gudang dibangunkan.

Hamzah berkata, pihaknya sudah mengadakan pertemuan dengan pihak pelabuhan semalam bagi membincangkan proses tuntutan.

“Namun, semuanya masih dalam perbincangan,” katanya ketika dihubungi FMT semalam.

Selasa lalu, Ayub dilaporkan berkata, kerja pembersihan membabitkan Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Agensi Pertahanan Malaysia Johor, Jabatan Alam Sekitar negeri dan Johor Port di kawasan pantai sekitar Teluk Kabong serta Tanjung Gemok sudah selesai.

Johor Port Berhad ketika dihubungi bagaimanapun enggan memberi kenyataan berhubung sebarang perkara berkaitan tumpahan minyak itu.

Pencemaran bahan kimia dari kilang

Hamzah berkata, nelayan bukan hanya menghadapi masalah akibat tumpahan minyak pada minggu lalu, malah turut berdepan pencemaran bahan kimia dari kilang berdekatan sepanjang tahun.

“Jika berlaku air besar dan hujan, tangki bahan kimia kebanyakan kilang di Pasir Gudang akan melimpah dan sisanya mengalir ke sini. Ini bukan perkara baru dan sudah banyak kali mengadakan pertemuan dengan kilang berhubung soal ini.

“Tindakan pihak berkuasa? Faham-faham sendirilah. Berapa ringgit sangat lesen yang dibayar nelayan setiap tahun berbanding kilang yang membayar cukai sehingga berjuta.”

Namun, katanya, pampasan bagi pencemaran berjumlah RM2,000 yang dibayar setiap tahun oleh kerajaan negeri sejak 2 tahun lalu sedikit sebanyak membantu golongan nelayan setempat.

“Bukan tidak berterima kasih, tetapi masih ada ruang untuk penambahbaikan. Kalau boleh, biarlah pencemaran ini dihentikan terus.”

2 kapal kontena berlanggar, minyak tumpah dekat pelabuhan Johor

Laporan penilaian tumpahan minyak bakal dimuktamadkan

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.