
“Kita akan bersidang pada 19 Januari ini dan akan membuat keputusan. Ia merupakan keputusan konsensus semua ahli lembaga pengarah,” kata Datuk Nawawi Ahmad ketika dihubungi FMT.
Nawawi bagaimanapun enggan mengulas dakwaan Sarbini kononnya siasatan dalaman itu tidak adil serta beliau didakwa demikian atas tindakannya mengendalikan operasi KTMB di sempadan Malaysia – Thailand.
“Saya tidak boleh komen kerana kes masih dalam siasatan,” kata Nawawi yang juga ahli Parlimen Langkawi.
Semalam, The Star melaporkan KTMB mengarahkan Sarbini bercuti sehingga siasatan dalaman terhadap urus niaga pemerolehan bernilai jutaan ringgit tanpa kelulusan lembaga pengarah itu selesai.
Sarbini yang dipetik The Star semalam berkata, tiada kejanggalan dalam pemerolehan perkhidmatan serta barangan dan beliau tidak pernah meluluskan sebarang pemindahan aset.
Beliau mendakwa menjadi sasaran kerana mengikut arahan Kementerian Pengangkutan dalam operasi KTMB di sempadan, iaitu untuk mengatasi kesesakan di sana serta membanteras kegiatan penyeludupan haram.