
Menurut mereka, kematian Adenan hari ini meninggalkan ruang besar dalam kepimpinan negeri walaupun mentadbir dalam tempoh yang singkat.
Pensyarah Universiti Malaysia Sarawak, Prof Madya Jeniri Amir berkata pengganti Adenan perlu memahami perjuangan dan aspirasinya terhadap Sarawak.
“Adenan bukan sahaja meletakkan penanda aras bagi kepimpinan negeri, tetapi sangat popular di kalangan rakyat negeri dengan ‘rating’ lebih 80%.
“Maka amat penting untuk pengganti meneruskan apa dilakukannya, bukan meletakkan titik noktah. Untuk itu, beliau akan berhadapan cabaran menggunung,” katanya ketika dihubungi FMT.
Adenan meninggal dunia akibat komplikasi jantung di Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak di Kuching kira-kira jam 1.20 tengah hari tadi, 2 minggu sebelum ulang tahunnya yang ke-73.
Beliau menggantikan Tun Abdul Taib Mahmud sebagai ketua menteri pada 1 Mac 2014, dan meneruskan penggal keduanya selepas memimpin Barisan Nasional (BN) memenangi 72 daripada 82 kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-11, Mei lalu.
Beliau meninggalkan seorang balu, Puan Sri Jamilah Anu dan 5 anak.
Pensyarah Universiti Malaya Prof Madya Awang Azman Awang Pawi pula menyifatkan Adenan sebagai “bapa autonomi Sarawak”.
“Maka penggantinya perlu memastikan isu autonomi, dan juga royalti minyak, pendidikan dan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 diteruskan.
“Rakyat Sarawak sudah pasti bersedih dengan pemergian ini dan mahukan tokoh sekuat kepimpinan Adenan sebagai pengganti,” katanya kepada FMT.
Sepanjang menjadi ketua menteri, Adenan lantang menegakkan hak negeri dalam persekutuan seperti royalti minyak dan autonomi pendidikan, selain dilihat serius memerangi rasuah dalam pembalakan di sana.
Awang Azman dan Jeniri meramalkan Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Openg menggantikan Adenan.
“Berdasarkan kekananan, Abang Johari adalah timbalan presiden PBB. Namun sistem kaukus digunakan di Sarawak seperti pemilihan Adenan dulu. Maka ada kemungkinan juga (Naib Yang Dipertua Kanan) Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan,” kata Awang Azman.
Jeniri pula memberikan 3 nama, iaitu Abang Johari, Awang Tengah dan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi Negeri merangkap Naib Yang Dipertua Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
“Barangkali yang paling mungkin menggantikannya adalah Abang Johari,” katanya lagi.