
Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Mior Faridalathrash Wahid berkata seorang lelaki berusia 26 tahun melaporkan perihal kanak-kanak tersebut kepada pihak polis dan dibawa ke Balai Polis Sungai Nibong.
“Lelaki tersebut berusaha mencari ibu bapa kanak-kanak tersebut namun tidak berjaya.
“Kanak-kanak lelaki itu kelihatan dalam keadaan panik dan tidak mahu bercakap. Dia kini dalam penjagaan kami di balai polis Sungai Nibong , “kata Mior.
Kanak-kanak lelaki itu mengenakan baju yang tertera perkataan “play” dan “Mickey Mouse” berserta sepasang seluar pendek hitam dengan perkataan “Malaysia”.
Mereka yang mempunyai maklumat mengenai ibu bapa kanak-kanak itu boleh menghubungi balai polis Sungai Nibong di 04-643-0222 atau hubungi ibu pejabat polis daerah timur laut di 04-218-1822.