
“Myanmar mahu menghantar bot membawa etnik Rohingya dari utara Rakhine ke negara lain, tetapi kita sudah ada pelarian di sini,” katanya selepas menghadiri Forum Antarabangsa Solidariti bersama Rohingya 2017, hari ini.
Beliau ialah duta khas Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) ke Myanmar.
Katanya, Malaysia mahu Rohingya tinggal di negara sendiri, tetapi bukan disebabkan Malaysia teragak-agak menerima mereka.
“Kami sentiasa menjadi penerima pelarian. Kami ingin memastikan kita tidak membuka pintu kepada semua pelarian memasuki negara ini.”
Beliau berkata, Malaysia sudah menerima kira-kira 7,000 etnik Rohingya yang tiba dengan bot pada 2015.
“Ketika ini, terdapat kira-kira 70,000 etnik Rohingya berdaftar tinggal di sini. Mungkin ada lebih ramai belum mendaftar. Angka ini juga termasuk kaum minoriti lain yang melarikan diri dari Myanmar disebabkan kekejaman di sana.
“Apabila ada masalah, mereka semua mahu datang ke Malaysia.”
Syed Hamid juga mahu kerajaan mendokumentasikan etnik Rohingya supaya mereka boleh mendapat pekerjaan dengan mudah di negara ini.
“Daripada membawa masuk orang dari tempat lain, mereka boleh bekerja di sini dan cari makan.”
Beliau berkata, kerajaan Myanmar di bawah kepimpinan pemenang Hadiah Keamanan Nobel, Aung San Suu Kyi perlu menghentikan pembunuhan beramai-ramai oleh tenteranya yang membangkitkan kemarahan masyarakat antarabangsa, lebih-lebih lagi apabila negara itu menuju ke arah demokrasi.