
Menteri perdagangan dalam negeri, koperasi dan kepenggunaan itu berkata, sekalipun harga ikan meningkat sedikit ekoran kekurangan bekalan, harganya masih terkawal.
“Saya sudah arahkan penguat kuasa membuat pemantauan agar harga ikan di pasaran tidak terlalu mahal sehingga membebankan pengguna,” katanya pada Program Cakna Pengguna (Bantuan Mangsa Banjir) 2017 di pusat pemindahan banjir di Sekolah Kebangsaan Sri Tumpat 2, hari ini.
Beliau mengulas harga ikan yang dilaporkan melambung di pasaran ketika ini, susulan bencana banjir yang melanda beberapa negeri sejak minggu lalu.
Mengenai dakwaan harga ikan akan meningkat menjelang sambutan Tahun Baharu Cina hujung bulan ini, Hamzah berkata, kementeriannya akan melancarkan Skim Kawalan Harga Sempena Musim Perayaan pada 18 Januari ini.
“Kita akan letakkan harga siling bagi ikan. Walaupun barangan itu berkurangan ketika ini, peniaga tetap perlu mengikut harga yang ditetapkan kementerian.
“Kita akan ambil tindakan terhadap mana-mana peniaga yang melanggar peraturan di bawah peraturan sedia ada,” katanya.
Terdahulu, beliau menyerahkan sumbangan minyak masak dan barangan kering kepada 584 mangsa banjir daripada 154 keluarga yang ditempatkan di pusat pemindahan banjir berkenaan.