
Norfarihan Baharudin, 23, yang mewakili 7 rakannya yang lain berkata sebaik sahaja menyedari perbuatan mereka menjadi viral di media sosial, mereka ingin memohon maaf tetapi tidak diberi peluang untuk berbuat demikian.
“Kami faham bila dikecam masyarakat. Tapi saya tak diberi peluang untuk memberikan keterangan. Hendak bercakap pun takut.
“Saya hendak memberitahu di sini, saya dan rakan lain ingin memohon maaf kepada masyarakat. Kami tahu perbuatan ini salah,” katanya menerusi sebuah video yang dimuat naik China Press.
Gambar 8 remaja memanjat papan tanda gergasi setinggi lebih 20 meter itu menjadi viral sejak 4 hari lalu di media sosial seperti Facebook, Instagram dan YouTube.
Ia memaparkan pelbagai aksi berbahaya mereka tanpa memakai sebarang peralatan keselamatan, termasuk berbaring pada buaian kanvas (hammock) yang dipasang pada kerangka tiang papan tanda tersebut.
Mereka sebelum ini mendakwa memperoleh kebenaran daripada Majlis Bandar raya Ipoh (MBI) untuk melakukan perkara itu.
Bagaimanapun, ia kemudian dinafikan Datuk Bandar Ipoh Datuk Zamri Man yang berkata pihaknya tidak pernah menerima sebarang permohonan untuk memanjat papan tanda “Ipoh” daripada mana-mana pihak.
Mengulas lanjut, Norfarihan turut mengakui beliau dan rakan yang lain amat menyukai kegiatan mendaki gunung dan bukit.
“Kami mempunyai latar belakang masing-masing. Jadi, bila kami memanjatnya, soal keselamatan sudah diambil kira tapi tak menyangka perkara begini akan berlaku,” katanya.