Kerajaan tanggung lebih RM30 juta kos perubatan PATI

Kerajaan tanggung lebih RM30 juta kos perubatan PATI

Nur Jazlan berkata, majikan tidak boleh hanya mengutamakan keuntungan serta kepentingan diri dan mengabaikan kepentingan negara.

Nur-Jazlan
PETALING JAYA:
Hospital kerajaan terpaksa menanggung kerugian lebih RM30 juta kos perubatan bagi merawat pendatang asing tanpa izin (PATI) atas dasar perikemanusiaan, kata Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Timbalan menteri dalam negeri itu dipetik Sin Chew Daily berkata, itu antara masalah dihadapi kerajaan akibat kemasukan pekerja asing ke negara ini, selain tekanan antarabangsa disebabkan isu hak asasi pekerja asing.

Katanya, sudah sampai masanya majikan bertanggungjawab terhadap pekerja asing, termasuk membayar levi pekerja asing yang mula dikuatkuasakan Ahad lalu, di bawah Komitmen Mandatori Majikan (EMC).

Ahli Parlimen Pulai itu berkata, majikan tidak boleh hanya mengutamakan keuntungan serta kepentingan diri dan menjadikan pembayaran levi pekerja asing sebaga alasan untuk mengabaikan kepentingan negara serta hak asasi manusia.

Katanya, walaupun kerajaan sudah menamatkan khidmat agensi pembekal pekerja asing di dalam negara ini pada 2010, namun masih ada syarikat yang beroperasi secara haram sehingga menyebabkan wujud aduan pekerja asing ditindas dan aduan itu turut diterima Kementerian Dalam Negeri.

“Kami terima aduan gaji pekerja asing tertunggak, buat kerja lain, tempat tinggal tidak memuaskan dan pasport ditahan majikan. Ini hanya sebahagian, masih ada ramai yang tidak berani membuat aduan.”

Beliau menasihatkan majikan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing dengan menyusun semula perniagaan mereka dengan bergerak ke arah teknologi perusahaan dan proses penjenteraan.

Nur Jazlan berkata, masalah pekerja asing dieksploitasi timbul kerana ramai majikan mengambil pekerja asing melalui agensi pembekal bagi mengelakkan memikul tanggungjawab dari segi undang-undang.

Katanya, masalah itu banyak berlaku dalam perusahaan kecil, tetapi jarang berlaku di syarikat besar yang mampu mengambil dan menguruskan pekerja asing.

Beliau berkata, tindakan majikan memilih buruh murah bagi mengurangkan kos operasi syarikat hanya akan membawa kepada lebih banyak masalah lain.

Katanya, banyak perbincangan diadakan dengan majikan, namun mereka masih gagal mencari jalan penyelesaian sesuai.

Majikan bertanggungjawab bayar levi pekerja asing mulai esok

Pekerja setuju, majikan bantah peraturan levi baharu

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.