12 kanak-kanak perempuan di rumah kebajikan didera ‘Datuk’, ‘Datin’

12 kanak-kanak perempuan di rumah kebajikan didera ‘Datuk’, ‘Datin’

Mereka mengadu dikurung bersama anjing, tidak diberi makan dan dipukul walaupun hanya melakukan kesalahan kecil.

Subramaniam-Suppiah_kakkum-karangal_rumah_600
Setiausaha persatuan Dr Subramaniam Suppiah mengakui membuat laporan polis sebanyak 2 kali tetapi tiada maklum balas daripada pihak berkuasa.
PETALING JAYA:
Dua belas kanak-kanak perempuan yang tinggal di sebuah rumah kebajikan di Ipoh, Perak mendakwa didera secara fizikal dan emosi selama bertahun-tahun oleh pengurus di situ yang juga bergelar “Datin”, akhbar The Sun melaporkan hari ini.

Gadis berumur 7 hingga 18 tahun dilaporkan dari rumah kebajikan Caring Hands (Kakum Karangal) yang dikendalikan Persatuan Penyayang Ipoh (Society of Caring Hands).

Ia menempatkan kanak-kanak perempuan kurang bernasib baik dengan persetujuan ibu bapa mereka.

Mereka memberitahu akhbar dirotan pada tapak kaki dan tangan sebagai hukuman kerana melakukan kesilapan kecil.

Mereka turut mengadu dimasukkan ke dalam kurungan anjing, dicampak, tidak mendapat makanan selama berjam-jam, selain dilucutkan pakaian dan dipukul di punggung mereka.

Wanita bergelar “Datin” dan suaminya seorang “Datuk”, adalah pegawai kanan dalam masyarakat tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen.

Kejadian penderaan yang berlaku didakwa pertama kali diketahui selepas seorang ahli psikologi kanak-kanak dari Singapura perasan pelbagai tanda penderaan dialami kanak-kanak semasa menjalankan kajian di rumah itu dan kemudian menghantar laporan penuh kepada jawatankuasa persatuan.

Menurut The Sun, pada 11 Jun, setiausaha persatuan Dr Subramaniam Suppiah membuat laporan polis dan kerana tiada maklum balas daripada pihak berkuasa, beliau membuat laporan ke-2 pada 12 Ogos.

Pemeriksaan perubatan kemudiannya dijalankan pakar perunding kanan kanak-kanak di Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh, dan keputusannya menyokong aduan berlakunya penderaan fizikal dan emosi berterusan.

Dr Subramaniam berkata, jawatankuasa itu mendapati kanak-kanak dipaksa bertanggungjawab terhadap kebersihan di rumah kebajikan, termasuk memasak makanan dan membasuh pakaian menggunakan sendiri. Semuanya terpaksa dilakukan selain ke sekolah, tuisyen dan aktiviti ko-kurikulum.

“Mereka bangun seawal jam 5.30 pagi setiap hari, dan setiap kanak-kanak terpaksa bergilir-gilir memasak 34 makanan vegetarian sehari, termasuk sarapan, makan tengah hari dan makan malam untuk semua penghuni,” kata Dr Subramaniam memberitahu The Sun, menambah peraturan itu dibuat oleh “Datin”.

Bagaimanapun, Dr Subramaniam menegaskan seluruh jawatankuasa tidak mengetahui segala kejadian yang berlaku di rumah itu.

Beliau berkata jawatankuasa menggantung “Datuk” dan “Datin” sejak Ogos lalu, tetapi mengeluh kerana kurangnya tindakan daripada pihak berkuasa.

Menurut laporan itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat hanya memutuskan tidak memperbaharui permit rumah itu apabila ia tamat akhir tahun ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.