
Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan Anak-anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (Nufam), Mohd Akram Osman berkata, pengurusan syarikat itu masih mengarahkan kru bekerja di bawah kod sebuah pesawat Malaysia yang hanya diluluskan Jabatan Penerbangan Awam.
“Pesawat ini digunakan untuk Saudi Airlines, sebagai pemilik pesawat, untuk beroperasi dengan kru bagi penerbangan ke Algeria.
“Tetapi kru hanya diambil untuk terbang dengan Eaglexpress dari dan ke Malaysia. Jika apa-apa berlaku kepada pesawat itu, permainan tuduh-menuduh akan menyusul.”
Mavcom dalam satu kenyataan pada Selasa lalu berkata, Eaglexpress dilarang membawa penumpang, mel atau kargo bagi tujuan sewaan atau upah bagi mana-mana perjalanan domestik atau antarabangsa yang tidak berjadual.
“Jika syarikat penerbangan itu terus menjalankan perkhidmatan selepas permitnya dibatalkan berkuat kuasa 21 Disember 2016, ia merupakan satu kesalahan di bawah Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 (Akta 771),” kata kenyataan itu.
Susulan pembatalan ASP itu, Mohd Akram berkata, Eaglexpress sepatutnya menghentikan operasi serta-merta kerana ia tidak lagi dibenarkan melakukan sebarang penerbangan.
Ditanya dari mana beliau mendapat maklumat itu, katanya, ia diberikan pekerja Eaglexpress yang menghubungi Nufam untuk mendapatkan bantuan.
Beliau mendakwa kakitangan berkenaan turut mengemukakan beberapa e-mel, termasuk jadual penerbangan semalam.
Dalam e-mel yang dilihat FMT, ada 2 penerbangan yang dijadualkan untuk perjalanan dari Jeddah ke Algeria dan 2 lagi dari Algeria ke Jeddah.
Mohd Akram turut menunjukkan satu senarai nama kepada FMT yang didakwanya adalah kru kabin untuk satu daripada penerbangan itu dan Nufam turut menghubungi sebahagian daripada mereka yang terbabit untuk mendapatkan pengesahan.
“Walaupun selepas penggantungan dilaksanakan, Eaglexpress masih mengeluarkan jadual kepada pekerja untuk terbang. Ada yang menolak, sesetengah pula tiada pilihan.
“Mereka bimbang dengan keselamatan diri. Selepas 2 tragedi udara membabitkan Malaysia Airlines, kami amat bimbang dengan semua operasi haram yang sedang berlaku.
“Tanpa permit, perlindungan insurans di bawah undang-undang antarabangsa tidak terpakai kepada mereka yang berada dalam penerbangan Eaglexpress.”
Beliau kemudiannya menggesa Mavcom menyiasat perkara itu dengan segera dan mengambil tindakan sewajarnya.
“Eaglexpress perlu menghentikan semua operasi dengan segera dan mengelak daripada membahayakan nyawa penumpang serta kru.
“Pihak pengurusan syarikat penerbangan juga perlu ditegur dan didakwa kerana melanggar undang-undang serta peraturan penerbangan.”
Eaglexpress bagaimanapun tidak dapat dihubungi untuk mengulas perkara ini.
Syarikat penerbangan sewa khas itu dilancarkan pada Januari 2012 dan sebahagian besar perkhidmatannya meliputi pasaran haji serta umrah.
Eaglexpress sebelum ini berkata, ia menawarkan perkhidmatan sewa khas bagi membawa jemaah haji dan umrah dari 19 destinasi di Afrika Utara, Timur Tengah, Indonesia, Bangladesh serta Malaysia ke Arab Saudi.