Anis Syafiqah ajak KJ sertai kongres bincang kemelut negara

Anis Syafiqah ajak KJ sertai kongres bincang kemelut negara

Kongres Anak Muda Malaysia bertujuan mencari resolusi yang 'tuntas dan holistik' untuk menyelamatkan belia dan negara.

Anis-Syafiqah_kj_tangkapnajib_600
PETALING JAYA:
Penggerak tunjuk perasaan #TangkapNajib mengundang Khairy Jamaluddin, selaku Ketua Pemuda Umno, ke kongres membincangkan pergolakan politik dan kemelut ekonomi negara.

Diadakan pada 17 hingga 19 Februari depan, Kongres Anak Muda Malaysia bertujuan mencari resolusi yang “tuntas dan holistik” untuk menyelamatkan belia dan negara.

Jurucakap Demi Malaysia, Anis Syafiqah berkata Khairy antara pemimpin belia mewakili parti politik yang diundang.

“Tidak dinafikan bahawa inisiatif ini digerakkan oleh kumpulan yang secara lazimnya dilihat tidak sehaluan dan bertentangan dengan kepimpinan dan dasar yang dianjurkan kerajaan,” kata Anis Syafiqah dalam satu kenyataan hari ini.

“Namun hakikat yang demikian tidak harus menjadi kegusaran buat pihak menteri mahupun pihak kerajaan berhadapan dengan inisiatif ini.”

Kenyataan dikeluarkan secara bersama oleh Anis dan aktivis anak muda yang lain, seperti Adam Adli, Rashida Kamal mewakili Sabah, Simon Seah mewakili Sarawak dan Mia Yusri mewakili Orang Asal.

Demi Malaysia menyasarkan kehadiran 1,000 belia daripada pelbagai latar belakang.

Mereka menyahut pesanan Khairy dalam The Star semalam menggesa gerakan anak muda supaya mengkritik dan memberi pandangan secara membina ke arah pembangunan negara.

Khairy, yang juga menteri belia dan sukan, berkata demikian mengulas penubuhan Demi Malaysia sebagai inisiatif balas kepada penubuhan Parlimen Belia Malaysia oleh kerajaan.

Khairy menambah pihaknya mengalu-alukan sumbangan mereka kepada pembangunan anak muda, sekiranya ia dilakukan secara membina.

“Rasuah, politik kotor dan korup, salah guna kuasa, penyelewengan wang awam, memecah belah perpaduan rakyat, mengapi-apikan sentimen kaum dan agama, dan sebagainya adalah penyumbang kepada kemelut negara yang tentu sekali menjejaskan perkembangan belia,” kata Demi Malaysia.

“Apabila kemelut ekonomi dan sosial yang sedang merebak hari ini berakar daripada pergulatan politik semasa, maka wajar agar golongan belia mengambil sikap dan memberi sumbangan bersifat politik agar kemelut yang melanda ini dapat diuraikan.

“Diharap agar Yang Berhormat tidak ketinggalan untuk ikut serta, seterusnya menyumbang sama kepada cita-cita menyelamat dan membangunkan belia serta negara kita.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.