Siasatan pelajar terlibat IS, KPT beri kerjasama penuh

Siasatan pelajar terlibat IS, KPT beri kerjasama penuh

Jabatan Pendidikan Tinggi juga akan sentiasa memastikan semua institusi pendidikan tinggi termasuk Universiti Antarabangsa Al-Madinah mematuhi Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 (Akta 555).

kpt_isis_polis_600
PUTRAJAYA:
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa berhubung siasatan membabitkan penahanan 2 pelajar Universiti Antarabangsa Al-Madinah (Mediu) yang disyaki terlibat dengan militan IS.

Selain itu, Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) akan sentiasa memastikan semua institusi pendidikan tinggi termasuk Mediu mematuhi Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 (Akta 555).

“KPT memandang serius penangkapan 2 pelajar Mediu oleh Polis DiRaja Malaysia (PDRM) yang disyaki terlibat dengan kumpulan pengganas IS.

“KPT juga mengambil maklum penjelasan yang dikeluarkan Mediu berhubung perkara ini,” kata kementerian itu dalam kenyataan di sini, hari ini.

Baru-baru ini, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan penahanan 7 lelaki pada 3 November hingga 16 Disember lepas kerana disyaki terlibat dengan aktiviti keganasan, dengan 2 daripadanya adalah warga asing yang menuntut di Mediu.

Pada Rabu lepas, Timbalan Rektor Hubungan Luar Mediu Datuk Dr Ab. Ghani Mohamad berkata 2 pelajar terbabit disingkirkan daripada universiti itu.

Mengenai status penambahbaikan sukatan pelajaran Akidah di Mediu bagi pengiktirafan kelayakan untuk pelantikan ke perkhidmatan awam, KPT berkata pihaknya mengadakan mesyuarat dengan Mediu semalam.

Dalam mesyuarat itu, wakil Mediu memberitahu ia menubuhkan jawatankuasa dalaman bagi mengkaji dan menambah baik sukatan pelajaran Akidah seperti yang dicadangkan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Jawatankuasa itu, yang dipengerusikan Ketua Eksekutif Mediu Prof Dr Mohammed Khalifa Al-Tamimi, bersedia membentangkan penambahbaikan yang dibuat setakat ini kepada panel terdiri daripada MAIS, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan pakar dari universiti.

“KPT akan menyelaras proses ini. Makluman lanjut akan disampaikan dari semasa ke semasa,” kata kenyataan itu.

Universiti swasta nafi jadi ‘sarang’ fahaman IS

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.