Demi Red Giants, Raja Muda Selangor desak tukar exco FAS

Demi Red Giants, Raja Muda Selangor desak tukar exco FAS

Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin berkata Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) perlu pentadbiran baharu untuk mengembalikan kegemilangannya serta menggembirakan penyokong Selangor.

Tengku-Amir-Shah-Sultan-Sharafuddin_sultan-selangor_fas_600
PETALING JAYA:
Raja Muda Selangor hari ini mendesak exco Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) yang gagal menyelesaikan masalah kewangan pasukan itu, supaya meletak jawatan.

Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin menerusi akaun Instagramnya berkata FAS perlu diberi peluang mendapat muka baharu dalam pentadbirannya untuk mengembalikan kegemilangan sukan bola sepak serta menggembirakan penyokong Selangor.

“Kita perlukan suntikan nafas baharu, dan pasukan Red Giants yang kaya dengan sejarah harus kita kekalkan martabatnya dan sangat penting untuk kita semua perjuangkan.

“Maka sekiranya barisan exco sedia ada tidak dapat memperbaiki situasi dalam masa terdekat, beta cadangkan mereka berundur secara terhormat supaya pasukan berkebolehan yang baharu dapat memulihkan organisasi tenat ini.

“Beta sarankan presiden FAS memperkenalkan barisan baharu yang bebas unsur politik, berdasarkan merit, bertenaga dan paling penting dapat membuahkan hasil positif terhadap pasukan bola sepak kesayangan rakyat negeri Selangor,” katanya.

Selangor menjadi pasukan ketiga selepas Kelantan dan Perlis yang mengancam untuk menarik diri daripada saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim 2017 jika gagal mendapat RM15 juta sebelum liga itu bermula pada 21 Januari depan.

Sehingga kini, masih belum ada petanda positif daripada kerajaan negeri mengenai bantuan kewangan kepada FAS.
Tengku Amir berkata FAS perlu melakukan rombakan secara drastik untuk menghapuskan pemikiran pihak yang masih mengharapkan subsidi semata-mata membangunkan pasukan.

“Cara pengendalian yang lapuk, wujudnya mentaliti terlalu mengharapkan subsidi sama sekali harus dihapuskan.

“Kita sebagai penyokong harus percaya dan berpegang teguh bersama pemain sedia ada kerana kita harus mengakui terpaksa mengharungi kesukaran, onak duri selama beberapa tahun kerana tindakan beberapa pihak tidak bertanggungjawab sebelum Gergasi Merah bangkit semula,” katanya.

Terdahulu, sekumpulan aktivis pro pembangkang Otai Reformis mendesak FAS menjelaskan peruntukan RM23 juta kerajaan negeri bagi tujuan pembangunan bola sepak tahun ini.

Pengerusinya Saari Sungib berkata pihaknya menyokong pendirian Menteri Besar Selangor merangkap Presiden FAS Datuk Seri Azmin Ali untuk tidak memberikan peruntukan tambahan kepada FAS pada musim depan.

“Dana sebanyak itu masih diperlukan secara kritikal bagi menggerakkan program kebajikan bagi rakyat dan sudah tiba masanya FAS mencari dana sendiri,” katanya.

Apa jadi RM23 juta, aktivis tuntut penjelasan FAS

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.