Harga rumah di Kelantan mahal akibat spekulasi

Harga rumah di Kelantan mahal akibat spekulasi

Persatuan Kontraktor Melayu Kelantan berkata sikap tamak pemaju yang ingin mengaut keuntungan lebih, tambah meruncingkan keadaan.

mohd-rosdi_rumah_600
KOTA BHARU:
Harga rumah di Kelantan sama ada di bandar atau luar bandar mahal kerana pemaju bertindak menaikkan harga jualan apabila mendapat permintaan tinggi selepas sesuatu projek perumahan 50% siap, kata Yang Dipertua Persatuan Kontraktor Melayu (PKM) Kelantan Datuk Mohd Rosdi Abdul Aziz.

Rosdi berkata walaupun kos bagi bahan, keluasan, lokasi, kemasan dan reka bentuk rumah serta permintaan turut memainkan peranan dalam menentukan harga sesebuah rumah, namun sikap tamak pemaju yang ingin mengaut keuntungan lebih, tambah meruncingkan keadaan.

“Contohnya, harga awal bagi sesebuah rumah yang dicadangkan untuk dibina sekitar RM200,000, namun selepas projek berkenaan berjalan lancar dengan lebih 50% rumah berjaya disiapkan, pemaju akan mula menaikkan harga rumah sehingga ia mencecah RM250,000.

“Sebagai kontraktor yang melaksanakan sesuatu projek pemaju, saya lihat harga kos barangan seperti simen, kayu dan sebagainya tidaklah mahal kerana bergantung kepada turun naik pasaran, namun pemaju pula mahu kaut untung lebih,” katanya.

Rosdi yang juga naib presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia turut mengambil contoh pembinaan Rumah Mesra Rakyat berkeluasan 1,000 kaki persegi, hanya memerlukan kos RM60,000 dengan kos tidak termasuk tapak, namun jika membeli rumah berkeluasan sama daripada pemaju perumahan, ia boleh mencecah sehingga RM250,000.

“Harga rumah dengan spesifikasi sama yang dibina pemaju sangat berbeza dengan harga kontraktor buat dan bagi mengatasi masalah ini, saya fikir kerajaan perlu campur tangan dengan menetapkan harga siling bagi rumah kos rendah dan sederhana.

“Ini penting kerana yang terpaksa tanggung beban ialah pembeli kerana rumah adalah satu keperluan… nak tak nak mereka terpaksa beli juga walaupun kecewa dengan harga yang ditawarkan pemaju,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pusat Penyelidikan Keusahawanan dan Inovasi Global (GERIC) Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Prof Dr Nik Maheran Nik Muhammad berkata bakal pesara perlu berhemah dan merancang dengan berkesan untuk menggunakan wang caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang diterima mereka selepas bersara kelak.

Nik Maheran berkata selepas bersara, pesara seharusnya tidak lagi mempunyai hutang yang perlu ditanggung seperti rumah, kereta dan yuran pembelajaran anak.

“Pesara hanya perlu guna wang caruman untuk perbelanjaan harian dan kos kesihatan saja jadi perancangan kewangan sebelum bersara perlu dilakukan sebaik mungkin agar jumlah wang persaraan yang diterima dapat digunakan untuk perkara itu,” katanya.

Nik Maheran berkata bagi mengoptimumkan lagi caruman yang diterima pesara, mereka seharusnya berfikir bagaimana untuk menggandakan wang caruman itu dengan mengambil kira faktor ekonomi yang sentiasa berubah.

Beliau berkata antara langkah yang boleh diambil adalah dengan melabur sejumlah wang persaraan kepada pelaburan yang tinggi kecairannya seperti Amanah Saham Bumiputera (ASB), Tabung Haji (TH) dan pembelian insurans.

“Ini penting kerana pesara perlu hidup dengan kos sekurang-kurangnya 75% daripada jumlah gaji terakhir yang diterima mereka sebelum bersara supaya mereka dapat hidup dengan lebih selesa tanpa memikirkan beban kewangan yang terpaksa ditanggung.

“Selain itu, sebelum bersara, mereka juga perlu membuat simpanan peribadi sekurang-kurangnya 30% daripada gaji yang diterima mereka dengan tempoh minimum 10 tahun,” katanya.

Nik Maheran berkata pesara juga mesti mengelak terjerumus daripada menyertai mana-mana skim cepat kaya yang menawarkan keuntungan tinggi setiap bulan kerana ia merupakan pelaburan yang berisiko tinggi.

Beliau juga tidak menggalakkan mereka untuk membuka perniagaan sendiri kerana selepas bersara, tempoh itu perlu digunakan sebaik-baiknya untuk bersama keluarga.

“Namun jika pesara ingin menceburi bidang perniagaan, mereka dinasihatkan supaya menggunakan hanya 10% daripada jumlah caruman yang diterima dan tidak melaburkan semuanya dalam perniagaan.
“Sebelum membuka sesuatu perniagaan, pesara juga perlu faham dengan perniagaan mereka bagi mengelak modal yang dikeluarkan hangus begitu saja akibat kerugian,” katanya.

Nik Maheran berkata apa yang dirisaukan kini adalah usahawan yang masih belum membuat sebarang caruman dengan KWSP dan menggunakan sepenuhnya keuntungan yang diterima hasil perniagaan tanpa memikirkan masa depan mereka.

Beliau berkata hasil kajian yang dilakukan mendapati hanya sekitar 10% usahawan terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang membuat perancangan persaraan berkesan.

“Mereka hidup senang sekarang kerana mendapat keuntungan tinggi, tetapi dalam masa yang sama tidak membuat perancangan persaraan sedangkan keadaan ekonomi sentiasa berubah.

“Jadi saya minta juga kerjasama KWSP untuk menasihati usahawan ini supaya mereka peruntukkan pendapatan dalam syarikat dan carum sedikit untuk persaraan mereka,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.