Rafizi gesa tingkat kadar kenaikan gaji penjawat awam rendah

Rafizi gesa tingkat kadar kenaikan gaji penjawat awam rendah

Naib presiden PKR berkata langkah itu amat penting di saat kemerosotan ekonomi dan peningkatan kos sara hidup.

rafizi-gaji
KUALA LUMPUR:
Kerajaan seharusnya meningkatkan kadar kenaikan gaji tahunan penjawat awam bergred rendah dan bukannya pegawai tinggi kerajaan seperti sekarang, kata Rafizi Ramli.

Beliau menggesa kerajaan supaya mengubah pendekatan sedia ada mengikut keperluan penjawat terbanyak yang lebih memerlukan.

“Dalam keadaan ekonomi teruk dan rakyat susah, terbalikkan (amalan). Pegawai tinggi tidak naik (gaji) pun tidak mengapa, tetapi ia sangat bermakna buat pegawai rendah,” kata naib presiden PKR itu.

Beliau menunjukkan jadual gaji jawatan tertinggi kerajaan, bermula daripada Jawatan Utama Sektor Awam (Jusa C) sehingga ketua setiausaha negara yang semuanya mendapat kenaikan 9% setahun.

“Ini belum termasuk elaun seperti keraian dan perumahan. Pegawai Turus 1 mendapat elaun berjumlah RM14,950 sebulan,” katanya pada sidang media di Invoke Space hari ini.

Menurut Rafizi, pegawai kanan kerajaan menikmati kenaikan 9% daripada gaji yang sedia tinggi, berbanding penjawat gred rendah yang hanya diberi kenaikan tetap.

Merujuk kepada jadual itu, Rafizi berkata guru gred DG44 hanya diberi kenaikan tahunan RM250, gred DG52 RM290 dan DG54 RM320.

“Peratusan kenaikan tidak lebih 3%. Di mana kewajaran memberi kenaikan lebih rendah daripada kadar GST (6%) kepada kakitangan yang gajinya sedia rendah?” soalnya.

Beliau berkata kenaikan yang diberi kepada pegawai kanan kerajaan tidak sepadan jika mereka tidak bersuara apabila berlakunya penyelewengan.

“Mereka bertanggungjawab memastikan perbelanjaan kerajaan tidak diselewengkan menteri dan ahli politik, dan tidak boleh berkata ‘hanya menjalankan tugas’,” katanya.

Beliau mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memberi respon dan membuat penyelarasan semula kaedah kenaikan itu.

“Jika beliau tidak jawab, saya akan bawa isu ini sehingga pilihan raya akan datang. Beliau perlu berhadapan dengan mereka (penjawat awam gred rendah),” katanya lagi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.