
Rafizi berkata tindakan itu dilihat sebagai langkah pragmatik pimpinan tertinggi Umno dalam mengimbangi antara keperluan menjaga kestabilan kerajaan perpaduan dan melayan aspirasi akar umbi yang diwakili oleh Akmal.
Menurutnya, pimpinan mengambil strategi untuk kekal dalam kerajaan dan terus membina kekuatan parti bagi menghadapi PRU16 kerana sedar ia lebih banyak membawa mudarat kepada Umno sekiranya ‘ikut rentak’ Akmal.
“Ia bukan ‘menang-menang’ atau semua orang keluar tanpa sebarang calar daripada ini. Umno ada terluka sedikit, Akmal pun ada terluka sedikit.
“Tapi dengan persetujuan Akmal meletak jawatan exco namun kekal sebagai ketua Pemuda Umno. Sekurang-kurangnya itu tidak menambahkan lagi krisis yang boleh meruntuhkan parti.
“Di sinilah yang saya kata nampaknya Umno menguruskan perbezaan pandangan itu lebih baik daripada PKR,” katanya menerusi audio siar Yang Berhenti Menteri malam tadi.
Khamis lalu, Akmal meletak jawatan sebagai exco kemajuan desa, pertanian dan keterjaminan Melaka, dengan menzahirkan melawan DAP habis-habisan selain menghormati keputusan parti kekal dalam kerajaan perpaduan.
Beliau turut berikrar ‘melahirkan 300,000 Akmal’ bagi berdepan pihak yang mengkritiknya termasuk DAP.
Pada konvensyen khas Pemuda Umno 3 Jan lalu, beliau menggesa Umno keluar kerajaan untuk bekerjasama dengan PAS menerusi Muafakat Nasional (MN).