Jangan kelirukan rakyat, peguam Dr M beritahu Nur Jazlan

Jangan kelirukan rakyat, peguam Dr M beritahu Nur Jazlan

Haniff Kathri menggesa Nur Jazlan mendapatkan nasihat daripada peguam dan bukannya membuat kenyataan menakut-nakutkan rakyat.

haniff-jazlan-1
PETALING JAYA:
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed tidak seharusnya mengelirukan rakyat dengan membuatkan mereka berfikir tindakan menyuarakan perbezaan pendapat terhadap kerajaan adalah jenayah, kata peguam kepada Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Jika beliau (Nur Jazlan) tidak mahir dalam undang-undang, mintalah nasihat daripada pegawai atau peguamnya sendiri. Jangan keluar membuat kenyataan menakut-nakutkan orang ramai.

“Membuat kenyataan terhadap kerajaan bukan jenayah.

“Ia hanya satu jenayah apabila kerajaan menyalahgunakan kuasa untuk menipu orang ramai,” kata Mohamed Haniff Kathri Abdulla kepada FMT.

Haniff mengulas laporan Malaysiakini yang memetik Nur Jazlan sebagai berkata, “siapa kata kita tidak menyiasat Dr Mahathir di bawah Seksyen 124 (c)? Sama ada kita mahu atau tidak membawa perkara ini ke peringkat seterusnya adalah perkara berbeza.”

Kenyataan itu menyusuli siasatan terhadap beberapa individu dan organisasi seperti Lawyers for Liberty, Majlis Peguam, Bersih 2.0 dan Malaysiakini di bawah Seksyen 124 (c) Kanun Keseksaan kerana didakwa cuba menjejaskan demokrasi berparlimen.

Apabila ditanya sama ada Dr Mahathir disiasat di bawah Seksyen 124 (c), Haniff tidak menerima sebarang butiran mengenai siasatan yang sedang berjalan.

“Setakat yang kita tahu, tidak ada maklumat khusus di bawah seksyen mana Dr Mahathir disiasat.”

Baru-baru ini, pihak berkuasa membuka siasatan selepas laman web Amerika Syarikat, DC Leaks, membocorkan dokumen yang menggariskan rancangan oleh kumpulan asing untuk masuk campur politik Malaysia melalui program yang dikenali sebagai “Program Malaysia”.

Minit mesyuarat itu didakwa membabitkan anggota Open Society Foundations (OSF) milik George Soros.

Dokumen itu mendedahkan OSF menjalankan operasi itu pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) 2010, yang pada awalnya dijangkakan diadakan pada 2011, 2 tahun selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengambil alih jawatan tertinggi negara.

Selama ini, Soros dikaitkan dengan aktiviti pro-demokrasi di Eropah Timur dan juga dituduh terlibat dalam manipulasi mata wang.

Nama Soros menjadi sebutan ramai di Malaysia pada lewat 1990-an apabila Dr Mahathir yang menjadi perdana menteri ketika itu, menuduhnya punca berlakunya krisis kewangan Asia 1997.

20 NGO disyaki terima dana asing disiasat, kata Nur Jazlan

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.