
Exco Pertanian dan Pembangunan Usahawan Melaka, Datuk Hasan Abdul Rahman berkata, program yang akan dipantau Unit Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera (UPEB) Jabatan Ketua Menteri itu akan mengenal pasti usahawan disenarai hitam dan gagal membuat pembayaran semula pinjaman sebelum ini.
Katanya, program itu turut melibatkan kerjasama kerajaan pusat melalui pelbagai kementerian untuk memberi pinjaman atau geran kepada usahawan tersebut.
“Kita tidak mahu usahawan yang gagal pada percubaan kali pertama akan terus bersikap negatif untuk bangkit semula. Program ini adalah antara bantuan yang boleh kita berikan kepada mereka untuk bangkit dan berjaya pada masa depan.
“Peluang ke-2 amat wajar diberikan kerana mereka perlu dibantu supaya tidak tercicir dan kita mahu lihat mereka berjaya, seterusnya menjadi penyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar,” katanya kepada pemberita hari ini.
Hasan berkata, program itu dilaksanakan selepas pelaksanaan program sama oleh Majlis Amanah Rakyat (Mara) berjaya membantu mereka melunaskan hutang pinjaman atau geran perniagaan yang diperoleh sebelum ini.
Katanya, terdapat seramai 3,800 usahawan di negeri ini yang berdaftar di bawah UPEB dan hanya 1,200 orang masih aktif menjalankan perniagaan.
Beliau berkata, antara faktor menyumbang kepada keadaan itu ialah kegagalan mereka bersaing dan pengurusan kewangan yang lemah.
Katanya, pelbagai usaha dijalankan untuk menggalakkan usahawan di negeri ini bergiat aktif dalam bidang perniagaan, termasuklah mengadakan ekspo dan karnival usahawan.