
Peguam dan Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty, Eric Paulsen berkata, Safwan mungkin dibebaskan sekiranya hakim terima pakai tafsiran undang-undang dalam keputusan ke atas sebuah kes di Mahkamah Rayuan bulan lepas.
Paulsen berharap denda RM5,000 yang dikenakan ke atas Safwan dan rayuan balas kerajaan dibuang.
Pada 25 November lalu, Mahkamah Rayuan dalam kes Adun Sri Muda Mat Shuhaimi Shafiei, yang mencabar keperlembagaan Akta Hasutan berhubung kecenderungan menghasut dan hukumannya, memutuskan niat dan hasrat perlu dibuktikan bagi menentukan kes prima facie dalam kes hasutan.
Paulsen bagaimanapun menambah hakim dalam kes Safwan tidak terikat kepada tafsiran kes Mat Shuhaimi, kerana semua hakim Mahkamah Rayuan berada pada kedudukan sama rata, dan boleh membuat kesimpulan tersendiri.
Mereka tidak terikat kepada keputusan kes Mat Shuhaimi, katanya.
Rayuan Safwan didengari hakim Datuk Mohtarudin Baki, Datuk Seri Zakaria Sam dan Datuk Prasad Sandosham Abarahim pada Julai.
Aktivis itu merayu keputusan Mahkamah Tinggi pada Disember tahun lepas yang mengekalkan pensabitan di bawah Akta Hasutan.
Kerajaan merayu keputusan Mahkamah Tinggi yang menjatuhkan hukuman denda RM5,000, dan mahu Mahkamah Rayuan mengembalikan hukuman penjara 10 bulan yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen pada 2014.
Rayuan ini merupakan terakhir untuk kes ini buat Safwan dan pendakwaraya.
Safwan dituduh membuat ucapan berunsur hasutan pada 13 Mei 2013, didakwa menghasut orang ramai supaya menggulingkan kerajaan melalui tunjuk perasaan jalanan.
Ucapan itu dibuat seminggu selepas Pilihan Raya Umum ke-13, yang dicemari dakwaan penipuan pilihan raya.
Ahli Parlimen Batu Tian Chua, bekas ahli Parlimen Batu Berendam Tamrin Ghafar, aktivis Haris Ibrahim, aktivis Adam Adli dan Hishamuddin Rais turut didakwa atas tuduhan sama.
Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman denda RM5,000 terhadap Hishamuddin manakala Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara 8 bulan terhadap Haris dan Tian Chua denda RM1,800.
Rayuan Adam akan didengarkan di Mahkamah Rayuan tahun depan manakala perbicaraan Tamrin belum bermula.