
Trend melonjak daripada 37,698 kes pada 2013 kepada 98,128 kes pada 2014 sehingga mencecah 6 angka tahun lepas dengan 112,123 kes.
Sebanyak 96,177 kes dilaporkan pada Januari sehingga 7 Disember.
Hampir setiap minggu kempen gotong-royong untuk menghapuskan tempat pembiakan Aedes seperti di rumah, pejabat, premis perniagaan serta kawasan pembinaan dijalankan oleh pihak berkuasa dengan bantuan orang ramai daripada semua lapisan masyarakat, ditambah dengan tindakan pengasapan.
Usaha berkenaan berkesan apabila jumlah kes denggi berkurangan sebanyak 25% kepada 224 kes tahun ini berbanding 301 kes tahun lepas.
Pihak berkuasa tidak memandang ringan walaupun trend kes denggi menurun buat kali pertama.
“Aktiviti pencegahan denggi melibatkan masyarakat seperti projek Communication for Behavioral Impact’ (Combi) bakal dipertingkatkan dan diperkukuhkan di kawasan ‘panas denggi’ pada tahun depan.
“Sehingga November lalu, terdapat 3,082 projek Combi dilaksanakan melibatkan 60,000 sukarelawan,” kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah kepada Bernama.
Beliau berkata Kementerian Kesihatan juga sedang menjalankan ujian keberkesanan kaedah pengawalan denggi secara biologi antaranya melalui produk mengandungi bakteria Wolbachia, dipercayai dapat mengurangkan populasi nyamuk Aedes sekali gus tidak berupaya menyebarkan virus denggi.
Di samping denggi, wabak malaria juga menunjukkan sedikit penurunan setakat Januari hingga 3 Disember, sebanyak 2,046 kes dilaporkan di seluruh negara berbanding 2,153 kes pada tahun lepas.
Turut menggemparkan negara pada tahun ini apabila 7 kes dilaporkan positif virus Zika mulai Ogos lalu.
Kes jangkitan difteria melibatkan bayi dan kanak-kanak juga menjadi tumpuan apabila lebih 20 kes termasuk 5 kematian antaranya di Kedah, Sabah, dan Melaka dicatatkan, berpunca daripada pengabaian pengambilan imunisasi difteria yang lengkap.
Difteria disebabkan oleh bakteria Corynebacterium diphteriae yang tersebar melalui titisan cecair pernafasan yang menjangkiti tekak (tonsil dan farinks) dan menghasilkan toksin hingga menyebabkan keradangan di sekitar tekak dan bengkak leher, menyebabkan pesakit sukar bernafas.