Ahok menangis, nafi berniat hina Al-Quran

Ahok menangis, nafi berniat hina Al-Quran

Gabenor Jakarta itu pada hari pertama perbicaraan tuduhan terhadapnya menghina Islam berkata beliau hanya mengulas tindakan lawannya yang menggunakan Al-Quran dalam kempen politik.

ahok
JAKARTA:
Gabenor Jakarta menitiskan air mata ketika menafikan beliau berniat menghina Al-Quran ketika perbicaraan hari pertama kes pendakwaan terhadapnya atas kesalahan menghina Islam di sini semalam.

Kira-kira 100 penunjuk perasaan beragama Islam mendesak Gabenor Basuki Tjahaja Purnama dipenjarakan sambil melaungkan “Allahuakbar” di luar mahkamah, sementara penyokong kaum Cina Kristian pula menyanyikan lagu kebangsaan.

Sepasukan polis berkawal di luar mahkamah selepas kumpulan Islam tegar turun ke jalanan pada November dan Disember mendesak penahanan gabenor yang popular dipanggil Ahok itu dan menggesa pengundi tidak memilihnya lagi dalam pemilihan pada Februari depan.

Himpunan itu disertai lebih 150,000 peserta, menjadi demonstrasi terbesar di Jakarta dalam tempoh 2 dekad.

Ahok dalam keterangannya di mahkamah berkata beliau tidak ada niat menghina ketika mengulas mengenai tindakan lawannya yang menggunakan Al-Quran dalam kempen politik.

“Sudah jelas apa yang saya katakan di Kepulauan Seribu tidak berniat untuk mentafsirkan Al-Quran, apatah lagi menghina Islam atau ulama,” katanya selepas pendakwa raya membacakan pertuduhan terhadapnya.

Gabenor itu berkata komennya itu hanya terhadap ahli politik lawannya yang cuba mengambil kesempatan secara tidak adil dalam pilihan raya itu dengan berkata pengundi tidak sepatutnya menyokong calon bukan Islam.

Ahok yang bertanding sekali lagi bagi mengekalkan jawatan gabenor berdepan 2 calon beragama Islam, turut menggambarkan hubungan baiknya dengan ibu bapa angkatnya yang juga beragama Islam di pulau Bangka.

“Saya sangat sedih apabila dituduh menghina Islam kerana tuduhan itu seolah-olah sama seperti mengatakan saya menghina ibu bapa dan adik-beradik angkat sendiri,” katanya.

Ketika perbicaraan itu, Ahok kadangkala memetik daripada bukunya, “Hiding behind holy verses” dan berkata ramai ahli politik elit di negara itu “pengecut” yang cuba memecahkan rakyat Indonesia untuk mendapatkan kuasa.

Jika didapati bersalah, Ahok berdepan hukuman penjara 5 tahun. Hampir semua kes membabitkan kesalahan menghina Islam, sejak kebelakangan ini akan berakhir dengan sabitan.

Perbicaraan ditangguhkan sehingga 20 Disember.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.