
Baginda yang dipilih Mesyuarat Majlis Raja-raja ke-243, Oktober lalu akan secara rasmi diisytiharkan sebagai Yang di-Pertuan Agong selepas istiadat mengangkat sumpah dan menandatangani surat pengisytiharan memegang jawatan di Istana Negara.
Terdahulu, istiadat keberangkatan baginda di Istana Negeri, Kubang Kerian bermula seawal 7.50 pagi dengan penuh adat istiadat.
Baginda yang mengenakan persalinan rasmi Sultan Kelantan turut memeriksa Kawalan Kehormatan Utama terdiri daripada 3 pegawai dan 104 anggota daripada Rejimen ke-5 Artileri Diraja Kem Desa Pahlawan, Kota Bharu, diketuai Mejar Mohd Saiful Azly, yang kemudiannya menyembah ‘Hormat Diraja’.
Pemangku Raja Kelantan, Tengku Mahkota Kelantan Tengku Dr Muhammad Faiz Petra dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob antara dif-dif kehormat yang mengiringi Sultan Muhammad V ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Pengkalan Chepa.
Doa selamat dibacakan Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad, disusuli Kawalan Kehormatan Utama menyembahkan Hormat Diraja buat kali ke-2, sebelum baginda berangkat ke LTSIP.
Ribuan rakyat Kelantan berbilang kaum berbaris sambil mengibarkan bendera Kelantan dan Jalur Gemilang di sepanjang jalan antara Istana Negeri, Kubang Kerian dan LTSIP sejauh 14km bagi meraikan keberangkatan baginda.
Kenderaan yang membawa baginda ke LTSIP turut melalui Jalan Sultan Yahya Petra, Jalan Pekeliling dan Jalan Tok Guru dengan persembahan kebudayaan turut diadakan di 11 lokasi sepanjang laluan itu.
Sebaik tiba di LTSIP, Sultan Muhammad V sempat memohon restu daripada bonda baginda, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid sebelum berangkat ke Kuala Lumpur.
Baginda juga sempat bersalaman dengan dif-dif kehormat, pegawai tinggi kerajaan dan rakyat jelata yang menanti untuk mengucapkan selamat berangkat kepada baginda di lapangan terbang.
Lagu Raja Berangkat turut dimainkan pasukan Gendang Besar Istana Kelantan sebelum pesawat membawa baginda berlepas ke ibu negara pada jam 9.12 pagi.
11,000 rakyat Kelantan dijangka iringi Agong baharu ke lapangan terbang