
Presiden MERCY Malaysia Datuk Dr Ahmad Faizal Mohd Perdaus berkata selepas insiden itu, MERCY segera menghantar pasukan tempatan terdiri daripada 4 anggota, berpusat di Medan dan Banda Ache ke Meureudu, bandar yang teruk terjejas di daerah Pidie Jaya.
“Pada 8 dan 9 Disember, 2 pasukan lain dari Ibu Pejabat Kuala Lumpur dihantar untuk menjalankan penilaian menyeluruh mengenai keperluan perubatan dan keperluan asas penduduk yang terlibat.
“Pasukan ibu pejabat diketuai Pengarah Pembangunan Strategik MERCY Malaysia Norazam Abu Samah dari Ibu Pejabat Kuala Lumpur dan terdiri daripada 2 kakitangan logistik dan 3 kakitangan perubatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dr Ahmad Faizal berkata, hasil penilaian mendapati keperluan segera ialah penyediaan peralatan kebersihan dan keluarga bagi mereka yang ditempatkan di khemah untuk Pelarian Dalam Negara (IDP).
IDP berkenaan ialah Pusat Pemindahan Kampung Matang, Pusat Pemindahan Kampung Raya dan Pusat Pemindahan Kampung Dee.
“Pada fasa pertama respons kecemasan, 426 peralatan kebersihan dan keluarga diperoleh dari bandar Sigli yang berhampiran untuk diagihkan kepada satu daripada khemah IDP.
“Respons kecemasan ini dibiayai Yayasan Maybank yang menyumbang RM250,000 untuk memenuhi keperluan segera serta keperluan masa depan hasil penilaian yang dijalankan di kawasan terlibat,” katanya.
“Sepanjang tahun ini, kita melaksanakan beberapa projek kesihatan, air, sanitasi dan kebersihan (WASH) serta projek pembinaan di Aceh,” katanya.
Lebih 100 orang maut dan beribu-ribu kehilangan tempat tinggal apabila gempa bumi bermagnitud 6.5 mengikut skala Richter menggegarkan Pidie Jaya di timur Aceh pada Rabu.
Gempa susulan berukuran 3.9 pada skala Richter melanda wilayah yang sama malam tadi.