
Pasukan negara, bagaimanapun dikejutkan dengan gol awal Indonesia menerusi pemain tengah, Salvador Sianipar pada minit kedua susulan kegagalan penjaga gawang negara menangkap kemas bola hasil umpanan Yongki Yamadi.
Skuad negara kembali memperkemas permainan dan hasilnya 3 gol berjaya dijaringkan untuk Malaysia mendahului 3-1 pada separuh masa pertama.
Penyerang berbisa negara Edelson Dell Evaristus paling mencuri tumpuan apabila menyumbat 4 gol pada minit ketiga, 22, 55 dan 78, sementara Dojnester Francis menyumbat 2 gol.
Empat lagi gol skuad negara, masing-masing dijaringkan Rabbino Lusius, Roynald Vienc Vincent, Muhammad Rahmatuddin Mohd Razali dan Amirul Naim Mat Leh.
Sementara itu, jurulatih pasukan negara Manachai Sitthisarn yakin anak buahnya mampu mencipta sejarah dengan menjulang piala berkenaan pada aksi final esok.
“Saya yakin dengan semangat juang anak buah saya, kami 100% yakin untuk menewaskan Thailand esok,” katanya melalui bahasa isyarat yang diterjemahkan jurubahasa skuad negara, Emmy Husain.
Malaysia akan bertemu Thailand pada aksi final setelah pasukan Gajah Putih itu menewaskan Vietnam 4-0 pada satu lagi saingan separuh akhir yang berlangsung di Padang Wisma Persekutuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Perlawanan akhir akan berlangsung di Stadium Mini Kementerian Pertahanan pada 4.00 petang esok.