Polis nafi lantik orang tengah selesai saman trafik

Polis nafi lantik orang tengah selesai saman trafik

Polis berkata tindakan akan diambil terhadap sesiapa yang bertindak menjadi “ulat trafik” atau orang tengah mengambil wang daripada orang ramai untuk membayar saman.

Noor-Rashid-Ibrahim_polis_saman_600
KUALA LUMPUR:
Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak pernah melantik mana-mana orang awam menjadi orang tengah bagi membolehkan orang ramai mendapatkan bayaran saman trafik yang lebih rendah.

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata orang awam yang ingin membuat bayaran saman, hanya boleh berbuat demikian melalui kaunter bayaran saman disediakan.

“Sehubungan itu, polis akan mengambil tindakan terhadap sesiapa yang bertindak menjadi ‘ulat trafik’ atau orang tengah mengambil wang daripada orang ramai untuk membayar saman.

“Polis akan ambil tindakan penguatkuasaan terhadap mereka yang cuba berbuat demikian. Polis akan menahan ulat ini kerana mengganggu ketenteraman awam,” katanya selepas menghadiri Majlis Makan Malam Jasamu Dikenang di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) di sini malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan muka depan sebuah akhbar tempatan mengenai kehadiran orang tengah atau “ulat” yang menawarkan perkhidmatan mendapatkan diskaun bagi bayaran saman PDRM dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Majlis makan malam itu bagi menghargai pengorbanan wira dalam Pasukan F yang juga skuad risikan yang mempertahankan negara daripada ancaman anasir subversif Parti Komunis Malaya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.