Zaid Ibrahim gagal cabar akta komunikasi

Zaid Ibrahim gagal cabar akta komunikasi

Ia berkenaan dakwaan membuat kenyataan 'jelik' yang dimuat naik di blognya September lalu.

Zaid-Ibrahim_law_60012
KUALA LUMPUR:
Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim gagal mencabar kesahihan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang membenarkan dakwaan ke atas pengguna Internet sekiranya memuatnaik bahan yang menyakitkan hati orang lain.

“Hakim berpendapat dia tiada kuasa untuk menentukan permohonan yang kita buat hari ini,” kata Zaid kepada kepada pemberita di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, selepas pertemuan peguamnya M Puravalen dengan hakim Zaman Mohd Noor hari ini.

Zaid didakwa di Mahkamah Sesyen minggu lepas di bawah Seksyen 233(1)(a) atas pertuduhan membuat kenyataan yang “jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau menggangu orang lain”.

Ia berkait teks ucapannya yang dimuat naik di blognya bertajuk “Rally Behind Tun Dr Mahathir Mohamad” pada 2 September tahun lalu, menggesa peletakan jawatan Datuk Seri Najib Razak.

Zaid berkata akan merayu keputusan itu.

“Kita berpendapat Seksyen 233 tidak sah dari segi Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Shukor Abu Bakar turut mengesahkan perkara itu.

“Berkenaan kesahihan peruntukan 233 di bawah Perlembagaan Persekutuan. Mahkamah telah putuskan, ada kes yang terdahulu di Mahkamah Tinggi bahawa Sesyen 233 ini sah.

“Keputusan dibuat pada kes sebelum ini iaitu di Mahkamah Tinggi Shah Alam, jadi dia (hakim) terikat dengan keputusan itu,” katanya.

Perbicaraan akan disambung semula pada 21, 27 dan 28 Februari tahun depan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.