Lagi kejadian maut, parah kerana diserbu pegawai agama

Lagi kejadian maut, parah kerana diserbu pegawai agama

Kedua-dua mangsa yang merupakan pegawai polis terjun dari tingkat atas ketika pegawai Jais menyerbu unit kediaman di 2 tempat berasingan.

penguatkuasa
PETALING JAYA:
Serbuan penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) di 2 lokasi berasingan di Lembah Klang awal pagi tadi kerana mengesyaki pasangan berkhalwat mengakibatkan seorang maut manakala seorang lagi parah ketika cuba mengelak tangkapan.

Berita Harian melaporkan kejadian di mana seorang lelaki terbunuh selepas terjun dari tingkat 4 sebuah pangsapuri di Pandan Perdana, ketika diserbu pegawai Jais.

Manakala di Taman Puchong Perdana, seorang anggota polis cedera dan dalam keadaan kritikal dipercayai selepas terjun dari sebuah pangsapuri, lapor Berita Harian.

Ia merupakan insiden terbaru melibatkan suspek khalwat yang cuba melarikan diri dari pihak berkuasa agama.

Ogos lalu, seorang wanita yang cuba lari daripada pegawai Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) menerusi tingkap bilik sebuah hotel bajet jatuh di atas jalan raya menyebabkan kecederaan.

Pada Mei 2011, seorang bekas anggota polis maut selepas terjatuh dari tingkat 16 sebuah bangunan apabila cuba mengelak tangkapan pegawai Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (Jawi).

Pada April 2010, seorang pelajar berusia 21 tahun maut selepas terjatuh dari tingkat 5 sebuah pangsapuri di Gombak, dipercayai ketika cuba melarikan diri dari serbuan sepasukan pegawai masjid.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.