Kementerian, SKMM mahu tangani budaya ‘berita tergempar’

Kementerian, SKMM mahu tangani budaya ‘berita tergempar’

Budaya 'berita tergempar' menyebablan pembelian panik dalam kalangan pengguna, kata Menteri Hamzah Zainuddin

hamzah-zainuddin
KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi menangani budaya ‘berita tergempar’ yang menyebabkan pembelian panik dalam kalangan pengguna.

Menterinya Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata ia bagi memastikan kementerian dapat mengesan pihak yang tidak bertanggungjawab menyebarkan berita yang tidak tepat mengenai isu-isu kepenggunaan.

“Kita mahu tangani ‘berita tergempar’ kerana mereka yang buat ‘berita tergempar’ ini biarlah media-media yang berhemah tahu tentang kesahihan sesuatu berita,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Katanya pengguna juga dinasihatkan supaya membuat semakan dengan kementerian bagi mendapatkan maklumat yang tepat.

Terdahulu, ketika menjawab soalan Chia Song Cheng mengenai penyelarasan mekanisme subsidi minyak masak di persidangan Dewan Negara, beliau berkata, kementerian menyita 82 tan minyak masak bernilai RM563,691 di seluruh negara
sejak 21 Oktober hingga 4 Disember lepas.

Beliau berkata 48 kes direkodkan dengan pelbagai kesalahan termasuk 7 kes melibatkan kesalahan menyorok minyak masak.

“Kes-kes lain iaitu 11 kes melibatkan peniaga tiada lesen, gagal menyelenggara buku stok (12), menyimpan bekalan melebihi had (4), melanggar syarat lesen (1), menjual lebih daripada harga ditetapkan (1) dan 12 kes bagi lain-lain kesalahan,” katanya.

Bagi tempoh yang sama, beliau berkata, sebanyak 78,765 pemeriksaan, 622 aduan diterima dan 597 aduan diselesaikan manakala 14 kes lagi dibawa ke mahkamah untuk dibicarakan.

“Kementerian akan terus komited menjalankan pemeriksaan dan pemantauan ke atas pengeluar, pembungkus, pengedar dan peruncit minyak masak bagi memastikan bekalan minyak masak sentiasa mencukupi dan penentuan harga di pasaran berpatutan,” katanya.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.