Jangan komen kalau tidak tahu, pesan Zunar kepada Khalid

Jangan komen kalau tidak tahu, pesan Zunar kepada Khalid

Zunar berkata, tanggungjawab kartunis politik di dunia, termasuk Malaysia ialah mengkritik kerajaan yang memerintah secara zalim dan mengamalkan rasuah.

Zunar
PETALING JAYA: Kartunis Zunar menasihatkan ketua polis negara tidak mengulas mengenai kartun politik, jika tidak tahu atau memahami seni itu.

Beliau berkata, Tan Sri Khalid Abu Bakar sepatutnya belajar mengenai kartun sebelum layak menasihatkan kartunis dan beliau sedia mengadakan kelas kartun untuk mengajarnya.

“Saya harap IGP (ketua polis negara) belajarlah sikit, saya nasihatkan dia belajar sikit-sikit pasal kartun, barulah dia faham kartun, barulah dia boleh menasihatkan kartunis.

“Saya boleh ajar IGP lukis kartun, memahami kartun. Saya juga boleh buat kelas kartun kalau dia sedia,” katanya kepada FMT hari ini.

Zunar berkata, tanggungjawab kartunis politik di dunia, termasuk Malaysia ialah mengkritik kerajaan yang memerintah secara zalim dan mengamalkan rasuah.

“Kartun ini ada berbagai jenis, yang saya buat ini kartun politik. Kartun politik kita tidak lukis Mickey Mouse, ia hanya dibuat Disney.

“Kita mengkritik orang yang membuat salah, itu dinamakan kritik. Orang yang rasuah, saya kritik. Saya juga mengkritik kerajaan yang zalim.

“Tetapi saya tidak menyerang. Kalau serang, itu namanya serangan peribadi, seperti yang berlaku di Dewan Rakyat. Gunakan perkauman, seksis, agama, nama peribadi, itu namanya serang. Mengkritik adalah tanggungjawab kartunis,” katanya.

Jumaat lalu, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, kartunis tidak seharusnya menimbulkan kebencian terhadap pemimpin kerajaan dan menasihatkan Zunar tidak berbuat demikian kerana ia bukan budaya rakyat Malaysia menghina pemimpin.

Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee Anwar Ulhaque berkata, beliau langsung tidak rasa terhina dengan saranan Khalid supaya kartunis hanya melukis ‘Old McDonald’ atau ‘Donald Duck’.

“Saya tidak terasa terhina kerana ia datang dari mulut orang yang tidak tahu. Orang ini tidak faham kartun, seni lukisan kartun, jadi saya tidak rasa terhina.

Kartunis tak patut ‘serang’ pemimpin, kata KPN

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.