
Bercakap kepada FMT, Hoo Ke Ping berkata pemaju China lazimnya membina rumah untuk pembeli kaya senegara dan meletakkan harga melebihi RM1 juta seunit. Hanya sebilangan rakyat Malaysia mampu membeli rumah-rumah itu, katanya.
“Masalah yang pemaju Malaysia akan hadapi adalah membina rumah-rumah mahal yang tak boleh dijual,” katanya.
“Jadi bukan sahaja akan berlaku lebihan bekalan, pemaju tempatan kini berdepan persaingan daripada pemaju China di sektor hartanah mewah.”
Ke Ping berkata pemaju tempatan perlu menjual hartanah pada harga diskaun sebelum lebih ramai pemaju China yang mampu membina rumah pada harga yang lebih murah masuk.
September lalu, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar mencadangkan pemaju perumahan diberi lesen peminjam wang supaya mereka boleh menawarkan pinjaman kepada pembeli.
Cadangan itu bagi mengatasi kesukaran pembeli rumah mendapatkan pinjaman bank.
“Pemaju tempatan mengadu pembeli rumah sukar mendapatkan pinjaman perumahan dan mahu Skim Pemaju Tanggung Faedah diamalkan semula, tetapi itu tidak menguntungkan pembeli rumah,” kata Ke Ping.
“Pinjaman rumah mewakili hampir 50% daripada hutang isi rumah di Malaysia.
“Daripada mengharapkan orang ramai dapat pinjaman bank, lebih baik kalau pemaju tempatan turunkan harga unit-unit yang tak terjual.”
Katanya lagi lambat pemaju tempatan lepaskan unit yang tak terjual, lebih sengit persaingan yang mereka bakal hadapi daripada pemaju China.
Presiden Persatuan Pemaju Hartanah Dan Perumahan Malaysia Fateh Iskandar Mohd Mansor baru-baru ini mengadu syarikat China diberi insentif yang tidak dinikmati pemaju tempatan, seperti rebat cukai.
Bulan lepas Bloomberg melaporkan pemaju tempatan seperti UEM Sunrise Bhd, Sunway Bhd dan SP Setia Bhd terkesan dengan kemasukan pemaju dari China ke Johor Bahru.