
Menurut beliau, Riduan boleh ditangkap dengan mudah jika tidak banyak publisiti mengenai waran tangkapannya.
Katanya, sejak mahkamah mengeluarkan waran tangkap, Riduan melarikan diri dan bersembunyi.
“Semua orang dah sibuk, dia lari lah.
“Kami berusaha mengesan untuk menangkapnya. Isunya ialah, kita tidak berurusan dengan monyet, monyet pun susah nak tangkap.
“Apabila dia tahu dia akan ditangkap, waran dikeluarkan, dia lari lah,” kata Khalid dalam sidang media di Universiti Sains Malaysia.
Khalid berkata semua pusat pemeriksaan di negara ini dalam keadaan berjaga-jaga untuk mengesan kedudukan Riduan.
“Jangan berputus asa. Sila jangan tuduh polis dengan sengaja menangkapnya atau tidak. Kami mengambil semua langkah yang perlu.
“Bagaimanapun, adalah menjadi tanggungjawab kami menangkapnya. Kami mengambilnya serius. Kita tidak memandang ringan perkara ini kerana ia perintah Mahkamah Tinggi,” katanya.
Pada Rabu, Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan memberitahu hakim Mahkamah Persekutuan yang Riduan masih di negara ini apabila disoal mengapa beliau tidak hadir dengan anaknya, Prasana Diksa, kini berusia 8 tahun.
Panel 5 hakim yang dipengerusikan Zulkefli Ahmad Makinudin, mendengar rayuan guru tadika M Indira Gandhi untuk membatalkan sijil penukaran agama 3 anaknya pada 2009.
Riduan, yang memeluk Islam, meninggalkan Indira dan kemudian menukar agama anak kepada Islam tanpa pengetahuan beliau.
Riduan juga mengambil Prasana Diksa, semasa itu berusia 11 bulan. Dua anak yang lain, Tevi Darsiny, 19, dan Karan Dinish, 18, berada di bawah jagaan Indira.
Pada 2010, Mahkamah Tinggi Ipoh memberikan Indira hak penjagaan penuh anak dan mengarahkan Riduan menggembalikan Prasana kepada ibunya.
Mahkamah Tinggi juga membatalkan sijil penukaran kanak-kanak pada 2013.
Tahun lepas, Mahkamah Rayuan mengubah penghakiman mahkamah perbicaraan.
Mahkamah Persekutuan menangguhkan keputusan kes itu yang kini ditunggu orang ramai bagi mendapatkan pendapatnya berhubung penukaran unilateral.