Tiada rancangan bina jambatan ketiga, kata PM Singapura

Tiada rancangan bina jambatan ketiga, kata PM Singapura

Lee Hsien Loong berkata buat masa ini kerajaan republik itu tidak merancang membina jambatan ketiga.

lee-singapore
SINGAPURA:
Singapura tidak mempunyai sebarang rancangan, buat masa ini untuk membina jambatan ketiga menghubungkan dengan jirannya Malaysia, Perdana Menteri Singpura Lee Hsien Loong.

“Buat masa ini kami tidak merancang membina jambatan ketiga.

“Saya ada melihat kenyataan di Malaysia yang mencadangkan pembinaannya, tetapi kereta api berkelajuan tinggi (HSR) itu projek yang amat besar,” katanya dalam satu temu bual eksklusif hari ini.

Lee ditanya sama ada dengan adanya HSR itu, jambatan ketiga masih diperlukan ataupun masih berdaya maju.

Terdapat cadangan daripada kumpulan perniagaan yang mahukan hubungan darat ketiga ke Singapura.

Menurut mereka jambatan ketiga “bukan lagi satu pilihan” memandangkan kesesakan lalu lintas di sepanjang Tambak Johor dan jambatan Link Kedua.

Oleh kerana desas-desus mengenai jambatan ketiga sudah lama diperkatakan, mereka berharap kedua-dua kerajaan akan berbincang dengan serius mengenai perkara itu.

Mereka berpendapat 2 jambatan yang sedia ada sekarang tidak lagi mampu menampung.

Malah mereka mencadangkan jambatan ketiga dibina di kawasan Kong Kong di Pasir Gudang, memasuki ke Sembawang di Singapura.

Mereka berkata wajar daripada segi ekonomi jambatan itu dibina di kawasan itu kerana ia akan merangsang perdagangan antara Malaysia dan Singapura.

Malaysia akan dihubungkan dengan Singapura menerusi projek HSR sejauh 350km yang akan mengurangkan masa perjalanan antara kedua-dua negara kepada hanya 90 minit saja dengan kelajuan kereta api lebih 300km sejam.
Bagi Singapura, terminal HSR akan terletak di Jurong East manakala Malaysia akan mempunyai 7 stesen, iaitu Bandar Malaysia, Putrajaya, Seremban, Ayer Keroh, Muar, Batu Pahat, dan Iskandar Puteri.

Jika semuanya berjalan lancar, kereta api pertama akan mula beroperasi pada 2026, hanya 10 tahun dari sekarang.

“Saya akan menumpukan semua tenaga saya melaksanakan projek itu (kereta api berkelajuan tinggi) sebelum melancarkan projek besar baharu,” kata Lee.

Lee dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyaksikan majlis pemeteraian Memorandum Persefahaman bagi HSR pada 19 Julai lepas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.