
Ravi Chandran, yang menyaksikan pergaduhan itu menggambarkan kejadian itu di Facebook. Beliau turut membuat rakaman video kejadian.
Beliau mendakwa atendan tol perempuan memanggil seorang pemandu teksi “pariah” (satu istilah yang menghina) selepas menegurnya kerana mendakwa dicaj berlebihan.
Video itu menunjukkan seorang pengawal keselamatan di plaza tol terlibat dalam pertengkaran itu.
Pengawal itu dilihat mencabar pemandu teksi membuat laporan polis jika tidak berpuas hati dan meminta alamat rumahnya supaya boleh mencarinya jika beliau kehilangan pekerjaan.
Ravi mendakwa pelanggan lain juga dikenakan caj berlebihan di plaza tol.
“Saya menasihatkan kakitangan tol tidak bermain dengan telefon bimbit mereka semasa bekerja dan menghormati pelanggan semua kaum.”
Pegawai sumber manusia LLB, Norlina Mohd Saiadin memberitahu NST Online pemandu teksi berkenaan membuat aduan di pejabat LLB di Bagan Ajam, semalam.
Beliau berkata, pemandu teksi yang sebelum ini berkata beliau tidak akan memanjangkan perkara itu selepas LLB memohon maaf dan berjanji mengambil tindakan terhadap pekerja yang terlibat dalam kejadian itu.
“Pelanggan memberitahu kami yang beliau tidak akan membuat laporan polis. Bagaimanapun, lewat malam tadi, saya melihat isu ini tersebar luas (di Internet),” katanya kepada portal berita.
Hasilnya, Norlina berkata satu lagi pertemuan dengan pelanggan yang tidak berpuas hati mungkin diatur untuk menyelesaikan perkara itu.