
Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee Anwar Ulhaque berkata dalam kejadian 2.45 petang itu, beliau hampir ditumbuk, tetapi polis dapat meleraikan kumpulan itu.
“Saya didatangi kira-kira 30 orang bertindak agresif secara fizikal menyuruh saya menurunkan lukisan yang dipamerkan. Mereka mengancam dan mengepung saya.
“Tidak ada kerosakan yang berlaku kerana saya turunkan lukisan saya. Kalau saya masih ada di sana, tidak tahulah apa yang akan berlaku,” katanya kepada FMT.

Zunar berkata beliau bertindak tenang dan tidak melawan walaupun diancam dan diugut kumpulan itu yang segelintirnya penyokong Umno.
“Saya tidak melawan, kerana ia bukanlah matlamat saya. Saya hanya mahu adakan pameran. Tetapi keadaan sangat ganas hingga memaksa polis dan FRU datang meleraikan kejadian tadi,” katanya.
Dianggarkan kira-kira 30 anggota polis dan 10 anggota FRU dikerahkan di bangunan Komtar, Pulau Pinang.
Katanya, pameran lukisan itu dijadualkan berlangsung selama 3 hari bermula pada hari ini, namun ia terpaksa dibatalkan atas faktor keselamatan.

“Saya tidak pernah lagi mengalami keadaan sebegini, ini kali pertama. Bagi saya kalau mereka tidak setuju, tidak ada masalah, mereka boleh bantah.
“Sepatutnya sampai 3 hari di sini (Komtar), tetapi saya tidak meneruskan pameran kerana isu keselamatan.
“Terima kasih kepada anggota polis yang datang cepat, jika tidak, tak tahulah apa yang akan berlaku,” katanya.